Setelah berjaya mencuri perhatian ramai dengan persembahan memukau di acara pembukaan FIFA Piala Dunia Disember lalu, tidak hairanlah jika ahli termuda daripada kumpulan Global K-Pop BTS, Jungkook dilamar oleh jenama terkemuka Calvin Klein sebagai duta terbaru mereka.
Jungkook BTS mungkin artis K-Pop seterusnya yang akan menakluki dunia fesyen selepas J-Hope, Jimin dan Suga. Baru-baru ini, ahli kumpulan BTS sering dilihat lebih aktif dalam industri fesyen setelah mereka mengumumkan untuk bergerak secara solo buat sementara waktu. Jika kita lihat kini, pelbagai jenama rumah fesyen terkemuka sedang berlumba secara sihat untuk menjadikan ahli daripada kumpulan global ternama ini sebagai duta jenama mereka.
Calvin Klein merupakan antara salah satu rumah fesyen yang tidak melepaskan peluang tersebut untuk melamar Jungkook sebagai duta mereka dan kini ia menjadi perbualan hangat di laman sosial Twitter terutamanya dan juga di Instagram.
Baru-baru ini peminat kumpulan global itu yang juga dikenali sebagai ‘ARMY’, menjumpai bahawa akaun Jungkook telah diikuti oleh Cedric Murac, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Kreatif Global Calvin Klein. Ini telah menjadikan Jungkook sebagai artis K-Pop kedua yang diikuti oleh beliau di akaun Instagramnya.
Bukan sahaja Cedric Murac, malah Pengarah Komersial Calvin Klein, Zayden Choo juga mengikuti ahli termuda BTS itu. Peminat menjumpai Cedric Murac dan Zayden Choo meninggalkan tanda suka di kebanyakan gambar Jungkook dan berseloroh berkemungkinan Jungkook akan menjadi duta terbaru mereka.
Sehubungan dengan itu, nama Calvin Klein juga telah berada di carta nombor satu laman sosial Twitter sejak semalam apabila peminat tidak berhenti-henti membuat kicapan ulang foto dan video yang memperlihatkan Jungkook yang sering mengayakan pakaian daripada jenama terkemuka itu.
Biarpun peminat masih berteka teki tentang status Jungkook dan Calvin Klein, namun pada saat ini masih tiada sebarang informasi rasmi daripada rumah fesyen tersebut.
Jungkook yang kini lebih berdiam diri daripada aktiviti di laman sosial, dengan terakhir kalinya dilihat mengemas kini akaun Instagram pada November tahun lalu. Menurut agensinya, HYBE Entertainment, Jungkook kini dijangka sedang sibuk dengan pengeluaran album solo terbarunya, yang diramal akan dilancarkan selepas album solo daripada Suga BTS.
Artikel Berkaitan: Dreamers Nyanyian Jungkook BTS Berjaya Cipta Sejarah
Artikel oleh Lyana