Masyadi Mansoor, pereka di sebalik label MSYD ini diiktiraf sebagai salah satu pereka yang berbakat dan berfikiran ke hadapan. Beliau tidak gentar mengharungi dunia fesyen Malaysia dengan rekaan kreatif dan beraninya.
Untuk Kata Pereka bulan ini, EH! menemu bual pereka fesyen yang berasal dari Pulau Pinang, Masyadi Mansoor atau nama panggilannya Adi. Merupakan pereka fesyen kepada label MSYD, beliau terkenal dengan karyanya yang unik, pernah disarung penyanyi ikonik Aina Abdul dan kumpulan Dolla.
Merupakan anak keempat daripada lima adik beradik, sejak kecil lagi Adi sudah minat dengan seni dan banyak menghabiskan masa dengan melukis dengan abangnya. Sejak itu, minatnya terhadap seni semakin membuak-buak.
Adi seorang Graduan Seni Reka Fesyen UiTM Shah Alam di mana sebelum ini beliau melanjutkan pelajaran dalam Diploma Seni Reka Tekstil.
Kongsi tentang permulaan dan apa yang membuatkan anda memasuki dunia fesyen.
Fesyen bukanlah pilihan pertama saya bila saya ingin melanjutkan pelajaran dalam seni. Saya lebih minat kepada seni halus dan grafik. Keputusan itu berubah selepas saya ‘pillow talk’ dengan ibu saya yang ingin melihat seorang anaknya yang menyambung legasinya sebagai pereka fesyen dan tukang jahit. Ibu saya dahulunya merupakan seorang tukang jahit dan mempunyai butik pengantinnya sendiri tetapi disebabkan beberapa masalah, perniagaannnya terpaksa ditutup dan ibu saya teruskannya di skala yang kecil.
Oleh sebab itu, saya melanjutkan pelajaran dalam Sarjana Muda Seni Reka Fesyen di UiTM. Cuma pengakhirannya, saya tidak menjadi pereka seperti ibu saya impikan (bridal wear) hahaha.
Describe estetika label anda
Avant-garde, minimalistik, eksperimental dan futuristik. Apabila saya menghasilkan koleksi, saya akan kaitkan dengan diri saya sendiri kerana bagi saya, ini merupakan medium untuk saya komunikasi dengan orang apa yang saya lalui.
Rekaan paling anda bangga
Setiap rekaan yang saya hasilkan mempunyai nilainya sendiri. Kalau secara peribadinya, koleksi semasa final degree, ‘The Dancing Warrior‘, merupakan koleksi mempunyai tempat di hati saya sampai sekarang kerana koleksi ini lah dimana saya menemui diri saya sebagai seorang pereka fesyen sampai sekarang.
Bagaimana anda menangani kritikan tentang hasil kerja anda
Bagi saya fesyen ini satu subjektif. Saya selalu berpesan kepada diri saya bahawa tidak semua akan menyukai apa yang saya hasilkan. Setiap kritikan yang saya terima terhadap hasil kerja saya, saya anggap itu sebagai kata-kata motivasi untuk saya memperbaiki kerja saya pada masa akan datang.
Selain itu juga, dari kritikan juga saya dapat melihat reaksi orang terhadap kerja saya kerana saya tahu rekaan saya bukanlah sesuatu yang sinonim untuk orang Malaysia yang sudah terbiasa dengan rekaan seperti gaun dan sebagainya.
Apakah langkah seterusnya bagi MSYD
Seperti pereka yang lain juga, saya ingin melebarkan label saya ke peringkat antarabangsa. Saya akan cuba sedaya upaya untuk pastikan saya mencapai impian tersebut. Dalam masa yang sama juga, saya juga akan kolaborasi dengan beberapa label antarabangsa dan lokal pada tahun ini.
Baca: Kata Pereka: Teh Firdaus