Jenama lokal Mimpi Kita semakin gah di persada fesyen tanah air. Sering tampil dengan rekaan yang segar dan menarik, buat dipakai ketika perayaan mahupun perkahwinan menjadikan kolaborasi tiga beradik ini cukup mengagumkan. Nurul, Mira dan Syera berkongsi cerita kejayaan mereka dalam menghasilkan rekaan terbaik buat penggemar fesyen.
Bagaimana dan bila Mimpikita bermula?
Bermula pada 2008 sewaktu itu Nurul baru sahaja tamat pendidikan peringkat Sarjana dan bekerja di pejabat ayah. Mira pula bekerja di syarikat pengiklanan dan Syera masih menuntut. Kami bermula secara online dan cuba menjual di bazar sekitar ibu kota seperti Bijoubazar untuk mengenal pasti penerimaan dan pendedahan jenama kami di pasaran. Setelah enam bulan, maklum balas yang diterima amat memberangsangkan dan kami memutuskan untuk membuka kedai di Dataran Sunway dan berkongsi tapak bersama pejabat projek ayah kami. Dari situ Mimpikita mula berkembang.
Bagaimana atau idea terutamanya Mimpikita diwakili tiga kepala?
Pada awalnya agak sukar kerana masing-masing tidak mempunyai asas dalam bidang fesyen dan perniagaan. Tapi apabila kami dapat mengesan kekurangan dan kelebihan kami bertiga, kami mula membahagikan tugas. Nurul bertindak sebagai ketua pereka, menjaga bahagian operasi dan menguruskan keseluruhan syarikat manakala Mira menguruskan hal perakaunan, pemasaran dan Rekakita. Syera menjaga hal produksi dan Kitakids.
Proses penyiapan pula bagaimana?
Dalam setiap keputusan terutamanya hal rekaan, perbincangan dan penyelidikan tentang pasaran akan dibuat terlebih dahulu. Lazimnya Nurul akan menyediakan 30 hingga 40 lakaran sehingga semuanya lengkap menjadi koleksi yang sempurna. Termasuklah rekaan corak yang diolah oleh pereka tekstil dan grafik dan dihantar untuk proses cetakan. Semuanya mengambil masa tiga bulan.
**Untuk temubual selanjutnya, jangan lupa dapatkan majalah EH! edisi November!