Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, ini adalah masa yang baik untuk mula memikirkan tentang busana yang akan anda sarung semasa musim perayaan ini.
Perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut lebih awal dan jatuh berdekatan dengan sambutan Tahun Baru Cina. Keunikan kalendar perayaan ini secara tidak langsung mencetuskan keterujaan dalam dunia fesyen tempatan, apabila ramai pereka dan label fesyen mengambil peluang untuk memperkenalkan koleksi busana istimewa bagi meraikan musim perayaan yang penuh warna-warni ini.
Apabila berbicara tentang gaya dan penampilan untuk Hari Raya Aidilfitri, terdapat pelbagai pilihan label fesyen yang boleh dijadikan inspirasi. Daripada rekaan klasik yang mengekalkan elemen tradisional seperti potongan baju kurung dan kebaya, hinggalah kepada sentuhan moden dengan siluet kontemporari dan palet warna yang segar, label fesyen Malaysia terus membuktikan kreativiti serta kehalusan seni mereka.
EH! senaraikan koleksi baju Raya yang menjadi tumpuan tahun ini.
Uzair Shoid x ZALORA
Uzair Shoid x ZALORA tampil berani dengan ABDI, koleksi debut Raya dan ready-to-wear yang meraikan warisan Melayu melalui lensa moden. Koleksi ini menyerlahkan eksplorasi fabrik dan teknik pattern-on-pattern, digabungkan dengan siluet tradisional yang diberi sentuhan kontemporari. Hasilnya, setiap helaian tampil unik, berkarakter dan mencerminkan kekuatan serta keperibadian si pemakai, pilihan segar untuk pencinta fesyen sopan yang gemarkan gaya statement.
Naelofar
Naelofar tampil dengan vibe Raya yang sofistikated menerusi Naelofar Atelier Raya 2026. Koleksi ini mengetengahkan busana ready-to-wear dengan siluet kemas, potongan berstruktur dan perincian sulaman halus yang tampak eksklusif. Didominasi rona lembut dan fabrik yang jatuh cantik, setiap helaian direka untuk menyerlahkan gaya sopan yang elegan.
Alia B
MIRAGE 2026, koleksi Lebaran oleh Alia B., menampilkan himpunan rentas budaya yang diraikan sebagai ekspresi gaya peribadi setiap wanita, selari dengan musim dan aura tersendiri mereka.
Calaqisya
Calaqisya mempersembahkan koleksi CALARAYA 2026 yang menampilkan potongan longgar, dengan permainan cetakan serta palet warna yang segar dan versatil.
Rico Rinaldi
Rico Rinaldi mempersembahkan SUMMERAYA 2026, sebuah koleksi istimewa yang menampilkan 70 healian busana raya. Dari rekaan modern kurung hingga long kurung yang anggun, setiap helaian diraikan dalam harmoni warna, corak dan fabrik yang pelbagai.
Syomirizwa Gupta
Syomirizwa Gupta mengeluarkan koleksi Bespoke Eid Lux 2026, diinspirasikan oleh Journey to The Silk Road. Hadir dengan 19 rekaan eksklusif, dicipta secara bespoke dan hanya tersedia melalui temu janji.
KALMHS
KALMHS kekal dengan DNA minimalis menerusi koleksi EID: #ULANG2026, menampilkan Laras Set, Alur Kurung dan Bayu Shawl yang ringkas, timeless dan versatil. Menariknya, koleksi ini diserlahkan dengan sentuhan elemen Cina seperti chinese button knot, memberikan dimensi unik dan segar pada busana Raya moden yang mudah digayakan berulang kali.
Maslea x ZALORA
Maslea x ZALORA mempersembahkan Koleksi AKAR, keluaran khas Aidilfitri 2026 yang diinspirasikan oleh memori dan kemanisan sambutan Raya. Koleksi ini menampilkan pelbagai rekaan kebaya berwarna terang dengan eksplorasi pattern-on-pattern yang berani, mencipta gaya ceria dan penuh karakter. Pilihan tepat untuk mereka yang gemarkan busana tradisional dengan sentuhan segar dan playful.



























