Sudah menjadi kebiasaan bagi banyak jenama fesyen untuk memulakan tahun dengan koleksi istimewa sempena Tahun Baru Cina. Berikut adalah jenama tempatan yang mempersembahkan koleksi eksklusif untuk menyemarakkan perayaan ini.
Tahun Baru Cina sering dikaitkan dengan rona merah, simbol keberuntungan, nasib baik, dan kemeriahan. Namun, dalam era moden, industri fesyen kini menawarkan sentuhan kreatif yang lebih segar dan berbeza daripada kebiasaan.
Pereka fesyen tempatan terus menyerlahkan identiti dan keunikan mereka dengan koleksi yang tampil dalam pelbagai warna, bukan hanya merah. Rekaan ini bukan sahaja memberikan kelainan tetapi juga kekal sesuai untuk digayakan sempena perayaan ini.
EH! senaraikan jenama fesyen lokal yang patut anda cuba untuk menyambut Tahun Baru Cina dengan penuh gaya!
Mell by Melinda Looi
Mellgolian, koleksi Tahun Baru Cina 2026 oleh MELL by Melinda Looi, diinspirasikan oleh semangat nomad Mongolia, yang digambarkan sebagai gagah, bebas dan berani, ditafsir semula melalui seni moden Malaysia.
Koleksi ini adalah sebahagian daripada MELL, rangkaian difusi Melinda Looi untuk wanita dan lelaki urban, menawarkan rekaan kasual berjiwa pereka yang mudah digayakan dan mampu milik, serta menyasarkan pencetus trend di Malaysia yang menghargai gaya, kebebasan dan ekspresi diri.
BEHATI
Untuk koleksi Raya Cina kali ini, BEHATI memilih Tú Anh sebagai wajah utama kerana keanggunan dan ketenangannya yang selari dengan semangat permulaan baharu Tahun Baru Cina. Tú Anh melambangkan kekuatan wanita, warisan budaya dan perjalanan masa yang menjadi teras koleksi Tết Chăm Lunar Raya 2026.
Melalui latar Vietnam, Tú Anh menghidupkan naratif tentang tradisi, spiritualiti dan keindahan yang lahir daripada kesederhanaan, menjadikan koleksi ini bermakna dan abadi.
Khoon Hooi
Koleksi Tahun Baru Cina 2026 oleh Khoon Hooi merupakan antara koleksi paling kontemporari yang pernah dihasilkan oleh pereka fesyen veteran ini. Di sebalik rekaan tradisional dengan gaya tandatangan Khoon Hooi, beliau turut memperkenalkan potongan baharu yang memberi sentuhan moden pada pakaian perayaan.
Elemen playful ditampilkan melalui penggunaan denim, corak kotak-kotak, brokad polka dot, serta potongan leher unik dan hemline yang lebih pendek. Terdapat set pakaian yang boleh digayakan bersama untuk acara istimewa atau dipadankan secara berasingan untuk gaya kasual sepanjang tahun. Pendekatan ini memberi nafas baru yang santai dan segar kepada rekaan Khoon Hooi, sama seperti yang ditonjolkannya dalam projek Tahun Baru Cina lain – koleksi kolaborasinya dengan Dressing Paula.
Rizman Ruzaini
Koleksi Tahun Baru Cina 2026 oleh Rizman Ruzaini menyatukan tradisi dengan sentuhan moden. Sulaman halus, siluet cheongsam yang elegan dan butiran potongan halus digabungkan untuk menghasilkan rekaan yang anggun, penuh penghormatan, namun tetap segar dan kontemporari.
Koleksi ini menampilkan gaya yang sempurna untuk meraikan perayaan sambil mengekalkan keanggunan masa kini.
Yuleza
Koleksi Tahun Baru Cina 2026 oleh Yuleza menyatukan warisan tradisi dengan sentuhan moden yang segar. Rekaan menonjolkan keanggunan minimalis dengan butiran halus yang unik, dari sulaman lembut hingga potongan yang elegan, mencipta pakaian yang anggun namun mudah digayakan. Setiap helai menekankan gaya yang sofistikated tetapi mesra pemakai, sesuai untuk perayaan atau dipadankan secara kasual sepanjang tahun.
Maarimaia
Koleksi Maarimaia Privé Lunar 2026 membawa pendekatan segar kepada pakaian perayaan. Warna-warna lembut ala musim bunga menyinari rekaan bertema vintaj Maarimaia, lengkap dengan elemen feminin seperti busur lipat, skirt penuh, dan tepi berbentuk scallop. Hasilnya ialah penampilan yang anggun, romantik, namun tetap moden, sempurna untuk menyambut perayaan dengan gaya yang berbeza daripada kebiasaan.
Baca: Penampilan Selebriti yang Meraih Tumpuan di Karpet Merah 2025
























