Kate Spade menanda ulang tahun mereka yang ke-30, dengan kolaborasi bersama Pantone, melancarkan koleksi terbaru, ‘Kate Spade Green’.
Jenama rumah fesyen terkenal, Kate Spade, telah melancarkan koleksi kerjasama pertamanya dengan Pantone baru-baru ini. Mengambil ‘warna’ sebagai tema inspirasi pilihan mereka, warna hijau telah dipilih sebagai ilham untuk koleksi terbaru kali ini.
“Warna hijau mempunyai kepentingan tersendiri untuk warisan jenama kami, ia menggambarkan personaliti gaya unik sebenar Kate Spade New York. Dan apabila kita melihat kembali 30 tahun yang lalu, perkara yang paling kami ingin raikan ialah semangat dan keyakinan yang selalu diwakili oleh jenama ini”, ujar CEO dan Presiden Jenama Kate Spade New York, Liz Fraser.
Mengikuti trend perubahan dari semasa ke semasa, warna hijau kini semakin menjadi kegemaran dalam pasaran kerana kualitinya yang dinamik dan berani. Mengekori jejak langkah menempa warna ikonik seperti ‘Tiffany Blue’ dan ‘Louboutin Red’, kini Pantone hadir dengan kod warna baharu, yang dikenali sebagai ‘Kate Spade Green’. Warna hijau pekat yang dipilih, menggambarkan satu pujian moden kepada warisan jenama rumah fesyen itu.
Menerusi akaun rasmi Instagram Kate Spade New York, satu pengeposan petunjuk berkaitan dengan warna dan koleksi telah dilancarkan. Rata-rata komen yang ditinggalkan, menunjukkan keterujuaan para penggemar fesyen tentang kolaborasi baharu ini.
Turut hadir dengan koleksi eksklusif kapsul hijau yang merangkumi kategori seperti, Ready To Wear (RTW), beg tangan, aksesori wanita, dan juga produk rumah. Koleksi kapsul ini, juga menghasilkan edisi terhad jurnal dan cawan yang memaparkan swatch warna Pantone. Produk-produk ini akan hadir dengan cara pembungkusan yang baharu dan yang telah dinaik taraf.
Bagi penggemar bag Sam Icon, kini Kate Spade kembali dengan beberapa versi rekaan semula klasik 1993 yang abadi, turut dikeluarkan dalam koleksi yang berwarna hijau. Sebagai tanda memperingati kerjasama di antara dua jenama terbesar ini, koleksi ini akan mula dilancarkan kepada pengguna pada musim bunga 2023 ini.
Artikel Berkaitan: Kate Spade New York Mewarnai Minggu Fesyen New York