Daren Yeap, pereka di sebalik label lokal UglyPretty, mempunyai kemampuan luar biasa untuk menonjolkan kreativiti uniknya melalui setiap rekaan.
Sejujurnya, saya mula mengenali UglyPretty sewaktu dunia ini riuh dengan filem Barbie. Daren melangkah kehadapan, mencipta tas tangan diinspirasikan daripada filem itu. Selepas itu, saya terus ‘stalk‘ dan berkata, label ini seharusnya mendapat pengiktirafan lebih kerana kreativiti yang diluahkan Daren, cukup unik menjadikan dia antara pereka fesyen yang ‘rare‘.
Identiti yang dapat dilihat pada UglyPretty, Daren lebih suka ‘raw finishing’ pada rekaannya. Baginya, kecantikan adalah subjektif di mana dia dapat melihat kecantikan dalam semua aspek.
Mengapa Daren memilih pereka fesyen sebagai kerjaya?
Sejak kecil, saya selalu bermimpi untuk menjadi pereka fesyen atau pelukis. Saya sering melukis dan mencipta pakaian kertas untuk anak patung kertas kakak saya. Saya rasa daripada itu bagaimana impian saya semasa kecil akhirnya menjadi kenyataan.
Perkara paling sukar sebagai pereka fesyen?
Bagi saya, bahagian paling mencabar dalam pekerjaan ini adalah menyeimbangkan kreativiti dan sisi perniagaan dalam mengendalikan jenama fesyen.
Bagaimana Daren mengikuti trend fesyen dan masih mengekalkan identiti rekaan yang unik?
Di UglyPretty, untuk kekal up to date dengan trend fesyen dan masih mengekalkan identiti rekaan unik kami melibatkan gabungan penyelidikan berterusan dan introspeksi. Kami memantau trend semasa dan perkembangan industri, tetapi fokus kami tetap pada cara mengintegrasikan elemen tersebut ke dalam estetika yang khas.
Kami mendapat inspirasi daripada pelbagai sumber dan menggabungkan elemen yang selari dengan penerokaan jenama kami tentang kontras antara ‘hodoh’ dan ‘cantik.’ Pendekatan ini membolehkan kami berinovasi dan tetap setia kepada visi utama kami yang menggabungkan keberanian dengan kehalusan.
Playlist Daren dengar semasa bekerja menghasilkan rekaan.
Apabila saya mencari idea baru dan inspirasi kreatif, saya sering mendengar muzik frekuensi untuk menghubungkan diri dengan diri yang lebih tinggi atau merasakan lebih terhubung dengan Alam Semesta. Ia membantu saya membersihkan fikiran dan membuka peluang baru.
Album Melanie Martinez <Portals> juga menjadi pilihan yang memberi tenaga kepada kreativiti saya.
Jika Daren boleh menghasilkan rekaan untuk mana-mana figura sejarah atau watak fiksyen, siapa akan Daren pilih dan mengapa?
Jika saya boleh menghasilkan rekaan untuk mana-mana watak, saya akan memilih Alice daripada filem Alice in Wonderland. Dia adalah watak Disney kegemaran saya kerana saya suka rasa ingin tahunya dan keajaiban yang dimilikinya.
Wonderland, bagi saya adalah tempat di mana imaginasi tiada batasan, dan menghasilkan rekaan untuk Alice akan membolehkan saya meneroka dunia fantastik, menggabungkan keseronokan dengan kreativiti dalam cara yang melanggar semua peraturan.
Bolehkah Daren kongsi di sebalik rekaan yang dipakai oleh ahli BABYMONSTER, Chiquita?
Rekaan yang disarung Chiquita dipanggil ‘Slashed Mini Pleated Skirt.’ Konsep saya adalah untuk mencipta pleated skirt yang menggambarkan estetika ‘ugly‘ dan ‘deconstructed.’
Jadi, saya memotong bahagian-bahagian skirt untuk memberikannya penampilan koyak dan kasar—seolah-olah ia akan hancur, tetapi sebenarnya ia sangat selamat untuk dipakai di atas pentas.