Dalam bahang musim panas yang memuncak, perlahan-lahan koleksi pra-luruh mula dilancarkan. Ini antara tiga label fesyen yang sudah mengumumkan kempen terbaru mereka, memberi highlight pada koleksi beg tangan.
Louis Vuitton
Kempen ini menonjolkan sahabat Louis Vuitton sendiri yakni penyanyi, Lous and the Yakuza serta Nana Ouyang dan pelakon Devon Ross. Turut serta menghiasi kempen ini ialah aktor, Jaden Smith. Kebebasan kreativiti Nicolas Ghesquiere dipersembahkan dalam gaya kempen nan cukup minimalis. Antara highlight utama yang dapat dilihat di dalam kempen ialah tas Odyssee dan LV Biker selain beg tangan ikonik mereka Capucines yang dipelbagaikan rupanya.
Menerusi koleksi pra-luruh tahun ini Nicolas Ghesquiere banyak bermain dengan idea taman-taman bunga, palet warna yang lebih harmonio antara biru ais, merah samar dan coklat pasir. Hasilnya, satu himpunan yang tampak segar dan timeless.
Gucci
Himpunan pra-luruh 2025 Gucci dilihat cukup kuat pengaruh gaya 1970-an, gaya hip dalam nuansa yang kontemporari. Dan bagi yang mengikuti jenama ini memang sudah dapat meneka atau merasa unsur asas jenama ini yang ‘seksi’ menerusi emosi, baik himpunan lelaki mahupun perempuan.
Gucci Softbit adalah bintang utama bagi kempen koleksi ini dan kali ini ia hadir dalam dua saiz. Mula diperkenalkan pada tahun 1970-an, beg ini secara zahirnya tampil dengan jiwa estatik dan juga fungsi. Selain itu kempen ini juga menonjolkan tas tangan Gucci73 yang direka oleh bekas pengarah kreatif Gucci, Sabato De Sarno. Beg yang diinspirasikan dari beg bucket ini pernah muncul di pentas pertujukan koleksi musim bunga/panas tahun ini.
Tory Burch
Kempen pra-luruh 2025 Tory Burch menampilkan bintang pop Korea Selatan, Song Yuqi. Tiga item menjadi pilihan Tory Burch untuk ditonjolkan dalam kempen ini iaitu beg tangan T Monogram, beg galas Kira dan juga padanannya, sandal Kira. Beg bucket T Monogram antara yang signifikan sementelah ia bukan sekadar beg untuk gaya namun ada gunanya. beg galas Kira pula muncul dalam gaya yang lebih mewah bila mana koleksi kali ini menggunakan kulit Nappa.