Bila-bila masa, di mana sahaja anda boleh jenguk, fikir-fikir dan lalu beli apa yang anda mahu . Membeli himpunan mewah Louis Vuitton kini boleh dilangsungkan secara atas talian. Louis Vuitton akhirnya mengumumkan laman dagang atas taliannya minggu lalu dengan pengenalan laman mayanya buat pembeli di Malaysia.
Dilancarkan pada 7 Oktober, jualan secara online ini dilihat sebagai satu tawaran pengalaman baru buat pencinta Louis Vuitton di Malaysia. Pembelian atas talian juga menawarkan khidmat personalization seperti cetakan atau ukiran nama sama seperti pembelian di butik.
Setiap pembelian mengambil masa tiga ke lima hari bekerja untuk sampai ke tangan anda dan tujuh hingga ke sembilan hari untuk pembeli yang menetap di Sabah dan Sarawak. Setakat ini sebanyak 25 buah negara sudah melancarkan laman jualan Louis Vuitton secara online sejak mula diperkenalkan pada tahun 2005.
Istimewa bulan ini juga, Louis Vuitton menjalin kerjasama dengan RED iaitu organisasi yang diperkenalkan oleh penyanyi utama kumpulan tersohor U2, Bono dan Bobby Schriver dalam menentang isu AIDS. Para penggemar gaya hidup mewah kini boleh membeli lilin istimewa hasil kolaborasi ini yang dicipta oleh Jacques Cavallier Belletrud dan direka oleh Marc Newson. Lilin edisi terhad (ada 5000 sahaja) dengan aroma kuntuman peony ini dijual pada harga USD60. Hasil jualan lilin ini akan disalurkan kepada RED sebagai sumbangan bantuan kewangan untuk penghidap AIDS mendapatkan bekalan perubatan.