KL Fashion Week 2025 bakal berlangsung selama seminggu, bermula dari 4 sehingga 10 Ogos, sekali lagi berlangsung di mercu tanda Kuala Lumpur, KLCC.
“KLFW2025 menandakan kehadiran semula yang lebih gah dengan impian yang lebih besar, barisan pereka dan jenama yang lebih menarik, rekaan fesyen serta trend yang lebih menyerlah dan berani. Walaupun KLFW mungkin merupakan acara fesyen utama, namun demikian ia kekal sebagai satu pergerakan yang dipacu komuniti iaitu satu kolektif yang dikuasai semangat dan kecintaan serta dedikasi pereka fesyen, penaja, rakan industri dan komuniti yang menggemari dunia fesyen,” kata Andrew Tan, Pengasas Minggu Fesyen Kuala Lumpur.
Berlangsung buat kali ke-13, KL Fashion Week 2025 terus dengan misi dan objektifnya yang mahu menggerakkan komuniti fesyen tempatan, sama ada pereka yang sudah berpengalaman mahupun pereka atau jenama yang baharu sahaja menjejakkan kaki ke gelanggang fesyen tanah air.
Antara pereka senior yang terus setia mementaskan koleksi mereka di KL Fashion Week tahun ini ialah Rizman Ruzaini, Radzuan Radziwill, BEHATI, Syomir Izwa Gupta, MimpiKita, Fizi Woo, Ezzati Amira, Hatta Dolmat dan ramai lagi. Teh Firdaus, Akmal Hakim, ShazNash, Ugly Pretty, HUNTILANAK dan MOKJY pula antara pereka dan jenama yang akan membuat debut di pentas yang sama.