Jika anda membesar dengan siri animasi “Looney Tunes” pasti gembira dengan kemunculan semula kartun ini Jun lalu. Lebih menarik, siri animasi arahan Warner Bros. ini juga telah mengembangkan empayarnya dengan berkolaborasi bersama jenama barang kemas termasyur Swarovski bulan ini.
Menampilkan watak animasi terkenal seperti Bugs Bunny, Tweety dan Sylvester, koleksi “The Swarovski Looney Tunes” hadir dengan 19 variasi kristal seperti barang kemas, pin tali leher, cufflinks “butang aksesori”, beg aksesori charms, patung figura dan sarung telefon.
Menurut Pengarah Kreatif Swarovski, Nathalie Colin, pihaknya amat gembira dapat bekerjasama dengan Warner Bros. Consumer Products kerana kolaborasi ini bertujuan meraikan beberapa watak animasi tersebut khas buat peminat siri animasi Looney Tunes serta penggemar setia Swarovski.
Meskipun dikendalikan oleh generasi kelima keluarga Swarovski, syarikat global ini telah berjaya menjangkau ke pasaran dunia serta menapak lebih 3000 outlet di 170 negara dengan hasil kira-kira 2.7 bilion euro pada tahun 2017.
Kilauan yang sangat elegan daripada Swarovski pasti akan memikat sesiapa sahaja yang melihatnya. Jadi kepada peminat siri animasi Looney Tunes serta pencinta kaca kristal Swarovski, anda boleh dapatkan koleksi “SWAROVSKI X LOONEY TUNES” ini di www.swarovski.com serta di seluruh outlet Swarovski bermula Ogos 2019.