Ramadan menyusul, lebaran pula yang bakal menjelma nanti. Tatkala tiba hari raya, pastinya setiap orang tidak mahu melepaskan peluang untuk meraikan perayaan dengan tampil serba indah di pagi syawal.
Sudah menjadi kelaziman, pabila tibanya lebaran setiap insan pasti akan memakai persalinan yang serba indah dan menawan. Kali ini, INNAI RED tampil dengan koleksi buat Aidilfitri yang cukup gah dan menjanjikan keselesaan berpanjangan.
Untuk koleksi ini, jenama fesyen terkenal tanah air ini menjengah sudut kediaman mewah yang dimiliki oleh wanita-wanita elegan yang memainkan peranan sebagai tuan rumah kala musim perayaan sebegini tiba.
Sebenarnya, bergaya ketika lebaran tidak hanya terhad untuk keluar beraya semata-mata, malah juga sesuai untuk menghiburkan tetamu yang berkunjung ke rumah. Penampilan di rumah itu juga penting bagi meraikan kehadiran tetamu yang memeriahkan lagi hari raya.
INNAI RED tampilkan koleksi dengan fabrik premium serta berciri-cirikan batu dan manik yang menghasilkan look yang lebih mewah menawan. Helaiannya yang bersesuaian dengan majlis cukup selesa dan versatil yang mengetengahkan motif klasik dan moden.
Alunan, tekstur dan perincian ditetapkan bertentangan dengan palet pastel feminin, mid-tone dan tona jewel yang lebih mendalam. Potongan busana raya INNAI RED ini lebih seimbang dengan saratnya manik-manik yang membuatkan koleksi kali ini menonjolkan aura INNAI RED itu dengan sendirinya.
Tidak melupakan gaya klasik turun-temurun, Kurung Pahang dan Kurung Kedah yang bercirikan moden turut dibawakan untuk koleksi lebaran kali ini. Koleksi RAYA 2017 ini, INNAI RED menampilkan Fasha Sandha sebagai wajah kempen ini.
INNAI RED Raya 2017 adalah sangat terhad dan hanya boleh didapati secara eksklusif di butik mereka yang terletak di Plaza Damas dengan harga dari RM3,200 sehingga RM4,400.