Donatella Versace berkongsi buah fikir dengan penghibur masa kini, Dua Lipa untuk koleksi La Vacanza yang mengetengahkan gaya percutian elegan kelompok kayangan Itali.
La Vacanza 2023 menjadi koleksi debut Versace yang menyaksikan buat pertama kalinya rumah fesyen Itali ini membuka ruang untuk mereka menjalani proses rekaan bersama kolaborator. Gandingan Donatella dan Dua Lipa ini bukan semata menghasilkan satu koleksi malah Versace menganggap ini adalah satu simbol keraian bagi kreativiti, persahabatan dan juga kehidupan di Versace sendiri.
“Saya dan Donatella semakin rapat sepanjang setahun menyiapkan koleksi ini. Kami mengorek kembali arkib koleksi lama dan banyak yang memikat hati untuk dijadikan inspirasi koleksi ini. La Vacanza hadir dengan skirt metalik dan juga baju mandi atau bikini seksi hingga ke cincin rama-rama dan helaian bercetak yang diinspirasikan dari koleksi musim bunga 1995. Apa sahaja acara atau aktiviti pasti ada helaian dari koleksi ini yang boleh dipakai, dan saya yakin saya akan menyarung koleksi ini sepanjang musim panas tahun ini,” kata Dua Lipa.
Menerusi jalinan kerjasama ini, Dua Lipa menghasilkan satu koleksi gaya hidup yang menyeluruh, merangkumi gaun malam, baju mandi dan helaian ke pantai. Kedua-duanya yakni Donatella dan Dua Lipa mengolah semula identiti ikonik Versace dalam persembahan yang lebih moden termasuklah cetakan rama-rama dan kumbang Versace yang diperkenalkan menerusi koleksi mereka pada tahun 1995. Tidak sempurna koleksi Versace tanpa kehadiran medusa dan ini dapat dilihat pada rekaan aksesori perhiasan diri.
BACA: Siapa Romain Gavras, Teman Lelaki Baru Dua Lipa?
Menurut Donatella dia sangat menyukai musim panas dan baginya koleksi ini adalah satu keraian bagi musim yang ditunggu-tunggu sepanjang tahun ini. “Koleksi ini adalah satu himpunan sempurna untuk musim panas, sama ada jika mahu bersantai dengan berbaring di tepi kolam, berdansa di senja hari mahupun bergaun elegan di malam hari. Saya menyukai muzik dan Dua menyukai fesyen, kami adalah duo yang paling sepadan,” katanya.
Koleksi ini sudah pun boleh dimiliki kerana Donatella dan Dua Lipa mahu himpunan ini seperti sebuah album, yang sudah boleh didengari sebaik dilancarkan.