Diperkenalkan pada era 90-an, Le Roseau tas tangan ikonik Longchamp terus menjadi obsesi wanita seluruh dunia sampai ke hari ini.
Le Roseau asalnya dicipta dengan gaya beg tote yang terbuka, ciri ini menjadikan beg ini sangat praktikal, campaklah apa saja ke dalamnya, senang juga untuk anda mencapai atau mencarinya. Dan tas tangan ini telah menjalani pelbagai inovasi dalam ciptaannya agar seiring dengan trend semasa tanpa meminggir karakter asal. Antara ciri signifikan Le Roseau adalah detil buluh metal yang menjadi ‘pengikat’ bintang masyhur Longchamp ini.
Untuk musim bunga 2025, Longchamp mempelbagaikan material buat koleksi Le Roseau. Antara yang menangkap mata ialah Le Roseau XS Handbag dalam material kanvas kapas baldu, warna merah jambu yang menjerit sekaligus pantas mencuri perhatian. Pilihan untuk material kulit terus dikekalkan dan hadir dengan pilihan warna yang lebih variasi seperti hitam, beige, merah kesumba (maroon), kelabu dan merah jambu dalam ton pastel.
Bagi sentuhan gaya yang lebih comel, Le Roseau XS Bucket Bag yang dihasil menggunakan faux-fur yang diperbuat dari bahan kapas kitar semula punyai karakter cute yang dicari-cari. Bagi gaya malar segar, Le Roseau XS Bucket Bag dalam material kulit terus memenuhi rak tas tangan di Longchamp.
Longchamp turut memeriahkan koleksi aksesori musim bunganya dengan Le Pliage Xtra XS yang bagi saya cukup menarik dengan pilihan warna merah jambu yang cukup menceriakan. Pilih sama ada mahu merah jambu menjerit dalam ton fuchsia atau mahu yang lebih elegan dalam ton pastel.
Bagi sentuhan glamor untuk gaya ke parti misalnya, Le Pliage XS Crossbody Bag dalam balutan material sarat berjemeki. Refleksi kilauan merah samar yang berdimensi. Tapi di era yang mana setiap orang berekspresi, saya fikir beg seglamor ini tak seharusnya perlu ditunggu acara-acara keramaian untuk digayakan. Boleh saja dijinjit bila-bila masa anda mahu. Bila melihatkan tas tangan ini saya teringatkan satu quote yang melintasi garis masa Instagram saya. Bunyinya, “Stop keeping your clothes and shoes for special occasions. Wear them whenever you can. Nowadays, being alive is a occasion“.
OBSESI MERAH JAMBU LONGCHAMP
“Pink for shoes, pink for hose
Pink for gloves and chapeaus
Pink for cheeks and pink at your lips
Pink for shirts and all of your slips
Just a touch of pink at your knees
And if you please (what?)
Pink chemise!”- Think Pink!, dari filem Funny Face yang dibintangi oleh Audrey Hepburn.
Bait-bait lirik dari filem muzikal ikonik ‘Funny Face’ menemani deria telinga saya saat membelek himpunan musim bunga Longchamp. Dari himpunan tas tangannya sudah dapat ditelah bahawa Longchamp mahu meraikan musim bunga dengan melantangkan gaya dengan pesona merah jambu. Koleksi helaian sedia pakainya juga menonjolkan obsesi jenama dari Paris ini kepada merah jambu.
Selembut-lembut ton pastel hingga yang menjerit dalam nada fuchsia, Sophie Delafontaine, pengarah kreatif Longchamp membiarkan merah jambu mendominasi koleksi Longchamp. Baginya warna ini adalah yang paling menyuntik kegembiraan sementelah musim bunga adalah momen yang sarat keseronokan, bak mereka kata ‘the most joyful season’.
Sophie menganggap merah jambu adalah satu ton yang sangat versatil dan fleksibel, biar apa pun material, baik berjemeki penuh, kulit, baldu atau kait, merah jambu cukup menyerlah. Begitu juga dengan pemakaiannya, dari pagi bawa ke petang sampai ke malam, merah jambu terus versatil, tinggal pilih potongan dan rekaan saja, Warnanya tidak canggung. Merah jambu boleh jadi warna yang maximalist dan punya kelembutan bagi yang lebih senang dengan padanan minimalis menerusi warna yang lebih lembut.
Bagi himpunan sedia pakai, yang saya lihat saat ke previunya minggu lalu, saya tertarik dengan sut merah jambu,w arnanya menjerit dalam ton fuchsia dan menggunakan fabrik baldu. Andai anda seorang yang mahu nampak ‘powerful’, sut ini boleh jadi confidence booster.
Antara rekaan lain yang menangkap mata ialah baju tanpa lengan penuh sekuin dan begitu juga seluarnya. Padanan yang pada saya sesuai sekali untuk parti atau majlis koktel. Musim ini juga Sophie banyak bermain dengan potongan kimono pada baju-bajunya dan saya kira ini antara helaian yang elok dijadikan pelaburan gaya, cukup versatil dan sangat felksibel untuk idea padu-padan yang bervariasi.
Longchamp mahu penggayanya berseronok dengan tiap helaian yang dicipta, gaya yang lebih playful. Baju-baju senteng dipadan bersama skirt labuh atau celana pendek malah boleh saja dipadan dengan gaun.
Klik pautan LONGCHAMP untuk melihat himpunan penuh musim bunga 2025. Tiba masa untuk anda bergaya dalam padanan merah jambu meraikan kedatangan tahun baru.
BACA: Longchamp Roseau Essential, Tas Tangan Chic Patut Anda Miliki