Lil Nas X bukan sahaja melintasi pentas peragaan koleksi Coach musim bunga/panas 2023, dia juga diundang membintangi kempen terbaru Coach, ‘COURAGE TO BE REAL’.
Awal tahun 2019 lagu rap country ‘Old Town Road’ nyanyian Lil Nas X mencetus fenomena di seluruh dunia, malah lagu tersebut menduduki tangga pertama di carta Billboard 100 berbelas-belas minggu lamanya. Sejak dari itu nama Lil Nas X pantas diletakkan sebagai antara bintang baharu yang harus diberikan perhatian. Kecemerlangann anak muda berusia 23 tahun ini diteruskan dengan beberapa lagi buah lagu hit termasuklah “Montero (Call Me by Your Name) di awal tahun 2021.
Tahun ini Lil Nas X disunting pula jenama fesyen kebanggaan Amerika, Coach untuk kempen terbaru mereka, ‘Courage To Be Real’. Pemilihan Lil Nas X dianggap tepat berpandukan mesej yang mahu disampaikan menerusi kempen ini. Filem kempen ini disempurnakan oleh pengarah Petra Collins. Lagu terbaru Lil Nas X, ‘Star Walkin’ melatari visual ‘Courage To Be Real’.
Apa yang ingin disampaikan oleh Coach menerusi kempen ini ialah keberanian untuk menjadi di sendiri. Hari ini kita digalakkan untuk berekspresi, berani menunjukkan diri kita yang sebenar. Ruang untuk berekspresi semakin terbuka dan jelas, media sosial misalnya adalah tempat terbaik untuk berkongsi siapa diri kita. Namun, ada juga yang menjadikan ruang tersebut sebagai tempat untuk berpura-pura, menjadikan diri orang lain. Jadi, rasanya apa yang Coach dan Lil Nas X mahu sampaikan haruslah diperhalusi mesejnya.
Stuart Vevers, pengarah kreatif Coach berkata, “visi saya di Coach adalah untuk mencipta dunia fesyen yang membuka ruang untuk manusia sejagat berekspresi, menonjolkan diri mereka yang sebenar. Untuk merealisasikan mesej ini saya temukan Lil Nas X dan Petra Collins, yang mana saya melihat kedua-duanya yang berani merubah persepsi dunia dengan hanya menjadi diri mereka sendiri.”
“Kerjaya seni saya semuanya berkaitan dengan memecahkan tembok kelaziman dan kempen ini betul-betul mencerminkan apa yang saya lalui. Ia bercerita tentang langkah saya ke dunia, pengalaman dan versi diri saya yang baharu. Ia antara menjadi diri sendiri dan juga ekspresi diri,” kongsi Lil Nas X.
Tonton video ‘Courage To Be Real’ di bawah:
BACA: Debut Pertama Lil Nas X Di Pentas Fesyen COACH New York