BINTANG KOREA MEMANG PUNYA KUASA LUAR BIASA, KINI MENAKLUKI LABEL FESYEN GERGASI PULA!
Ombak K-Pop memang tidak dapat disangkal lagi, mereka ini sudah mendominasi pasaran global. Dengan lagu yang mudah didengar pada telinga, babak lakonan yang menggamit hati juga penampilan yang tidak pernah salah. Pasaran hiburan baru yang diwujudkan oleh bintang Korea nyata tidak mempunyai sempadannya. Ini membuatkan syarikat label fesyen yang besar mahu mendapatkan khidmat mereka sebagai pelaris. EH! kongsikan lima bintang Korea yang ditugaskan sebagai duta global jenama fesyen terkenal.
KAI BUAT GUCCI
Sudah tiga tahun lebih Kai daripada kumpulan EXO dijadikan duta global Gucci. Memetik wawancara CEO Gucci, Marco Bizzari menyatakan hubungan Kai dan Gucci cukup luar biasa. Maka tidak sia-sia Gucci melancarkan satu kolaborasi bersama Kai dibawah label Gucci. Alessandro Michele tertarik dengan minat Kai terhadap anak patung dan melancarkan himpunan berkisar hobinya itu.
HO YEON JUNG BUAT LOUIS VUITTON
Bagaikan sirih pulang ke gagang, itulah jalan hidup Ho Yeon Jung pelakon drama Squid Game dan juga peragawati terkenal korea. Dia pernah menjadi model eksklusif Louis Vuitton pada pertunjukan musim bunga 2017. Nicolas Ghesquire berkongsi yang dia jatuh hati pada pelakon ini kerana mempunyai karakter personaliti yang menarik serta bakat besarnya. Ho Yeon juga menjadi pelakon wanita Koread paling ramai pengikut di Instagram.
HYUNA BUAT LOEWE
Sebagai satu langkah membawa identiti baharu Loewe, maka Jonathan Anderson memilih Hyuna sebagai wajah baharu jenama ini. Pemilihan Hyuna adalah untuk membawa satu transformasi pada label mewah ini. Loewe melihat Hyuna sebagaiw atak penting dalam mencipta arus baharu Loewe kerana penyanyi ini mempunyai stail lebih vibrant dan mempunyai karakter moden.
G-DRAGON BUAT CHANEL
Antara bintang Korea yang terawal diangkat sebagai duta adalah G-Dragon. Chanel yang selalu pendahulu dalam segala trend adalah jenama yang menjadikan G-Dragon sebagai wajah global mereka. Tugas terawal G-Dragon adalah mempromosikan beg Gabrielle pada 2017. Hubungan dia dan Chanel masih segar sehingga kini dan sering kali menjadi wajah penting di acara Chanel baik di Paris atau Seoul.
AESPA BUAT GIVENCHY
Jika jenama lain hanya pilih satu daripada kumpulan muzik, tetapi bukan buat Givenchy. Kesemua ahli anggota Aespa diangkat sebagai duta global mereka. Ia adalah berita baik, kerana menunjukkan kuasa yang dimiliki oleh kesemua Aespa tanpa ada rasa tidak adil. Matthew M. Williams, Pengarah Kreatif Givenchy berkata yang kesemua mereka ini mempunyai stail yang berbeza-beza dan menafsirkan esen fesyen Givenchy secara semula jadi.
Pautan Berkenaan: Coach x Michael B. Jordan, Kolaborasi Kedua Yang Menyatukan Fesyen dan Seni