Helaian santai bernadikan gaya chic berpadanan dengan tas tangan Roseau Essential menjadi buah tangan terbaik buat gaya anda sepanjang musim bunga 2024.
Jika ditanyakan pada saya, bilakah fasa kehidupan yang paling menyeronokan? Saya tidak teragak-agak untuk mengatakan zaman di universiti antara yang paling membekas di hati. Bagi saya itulah fasa permulaan bagi banyak hal. Sewaktu di universiti juga (ikut zaman saya) adalah satu fasa untuk saya mula belajar berfesyen. Masa untuk kita explore semua gaya, mengikut arus trend semasa. Biarpun poket tak tebal mana, tapi usaha dan semangat nak bergaya itu membuak-buak.
Jadi, bila melihatkan koleksi musim bunga/panas Longchamp tahun ini ia bagai memutar kembali masa sewaktu saya di kolej. Pengarah kreatif Longchamp, Sophie Delafontaine menzahirkan idea Longchamp University menerusi satu koleksi yang sangat segar, mengadun mesra inspirasi sukan dan feminin untuk satu himpunan yang saya kira cukup chic.
Dari baju-t dan hoodie senteng (crop), jaket dan celana dalam ton senada (ada ungun dan hijau, dan seluarnya berpotongan loceng) hinggalah gaun labuh dan jaket sarat labuci, semuanya bersenyawa dalam koleksi ini. Dan helaian-helaian dari koleksi ini saya lihat cukup segar di acara pembukaan butik Longchamp di The Exchange TRX tempoh hari.
Melihat kelibat selebriti dan pempengaruh fesyen menggayakannya benar-benar merealisasikan objektif koleksi dan kempen Longchamp yang mahu penggayanya ceria dan gembira pabila menggayakan koleksi ini.
Video dan foto kempen Longchamp musim bunga/panas 2024 disempurnakan oleh pengarah dan jurugambar tersohor, Elaine Constantine. Dia yang sudah lebih tiga dekad aktif sebagai jurugambar profesional merakamkan kempen ini di Lycée Henri IV yang terletak di Paris.
Kata Sophie Delafontaine, dia berasakan pemilihan Elaine sangat bertepatan dengan visi yang mahu Longchamp tonjolkan dalam kempen terbaru ini. “Saya betul-betul jatuh cinta dengan karya Elaine untuk Longchamp musim ini. Fotonya bagaikan lukisan. Saya memang membayangkan satu kempen yang menerapkan unusr positif, dan Elaine realisasikan visi saya dengan satu kempen yang sarat kegembiraan dan optimism.”
TAS TANGAN ROSEAU YANG ‘MUST HAVE’
Masakan sempurna berbicara tentang himpunan Longchamp tanpa menyebut koleksi tas tangannya. Musim ini koleksi Roseau amatlah menonjol dan tas tangan Roseau jugalah yang banyak dipaparkan dalam foto dan klip kempen terbaru ini.
Kim Se-jeong yang juga duta global Longchamp dilihat melengkapkan gayanya dengan Roseau XS Bucket Bag. Beg ini bagi saya sangatlah memenuhi trend semasa tanpa membelakangkan hal praktikaliti. Roseau XS Bucket Bag dalam warna perak yang disilangkan pada tubuh oleh Kim Se-jeong antara yang menangkap mata. Bagi saya warna perak bukan lagi terhad untuk gaya glamor di malam hari atau acara rasmi, ia sudah sebati buat gaya harian. Tidak lagi canggung untuk digayakan.
Roseau Essential XS Bucket Bag juga memenuhi kehendak gaya masa kini. Saiznya yang ‘just nice’ mejadikan ia tas tangan kasual yang paling ‘in’ untuk gaya nada musim ini. Hadir dalam empat warna yakni jingga, kelabu cair, hitam serta hijau, ia boleh disilang atau dijinjit, cukup versatil.
Anda boleh klik pautan INI untuk himpunan penuh tas tangan terbaru Longchamp. Boleh juga beli secara dalam talian. Jangan lupa juga untuk berkunjung ke butik Longchamp terbesar di Malaysia yang terletak di The Exchange TRX.