Longchamp buat pertama kalinya menjalin kolaborasi bersama artis tekstil, Caroline Hélain untuk satu koleksi kapsul yang terdiri daripada barangan kulit dan juga himpunan sedia pakai.
Setia dengan komitmennya terhadap seni kontemporari dan reka bentuk, Longchamp buat julung kalinya bekerjasama dengan artis tekstil Caroline Hélain, yang terkenal dengan karya-karya halus dan puitis. Pertemuan antara dua dunia kreatif ini melahirkan koleksi kapsul eksklusif yang merangkumi barangan kulit serta pakaian siap pakai.
Seni sentiasa menjadi sebahagian daripada identiti Longchamp. Namun untuk musim ini, ia memainkan peranan yang lebih besar sebagai medium meneroka idea baharu, menghubungkan semangat pengembaraan dengan keinginan untuk menemui perspektif dan horizon yang baharu.
“Amalan seni saya berada di antara figuratif dan abstrak. Kolaborasi bersama Longchamp memberi peluang kepada saya buat pertama kalinya dalam mengembangkan landskap yang saya hasilkan. Idea bahawa horizon ciptaan saya boleh bergerak bersama pemakai, meliputi keseluruhan siluet, membawa makna yang sangat mendalam buat saya,” kata Caoline Helain.
Landskap yang Diterjemahkan Sebagai SeniFesyen
Sebagai seorang pemerhati alam sekeliling, Caroline Hélain banyak meneroka hubungan antara landskap, material dan memori visual. Dia menghasilkan karya dengan memotong fabrik secara bebas menggunakan tangan sebelum menyusunnya menjadi komposisi abstrak yang menggabungkan pelbagai tekstur dan warna.
Hasilnya ialah seni tampalan (patchwork) yang membentuk ilusi kedalaman dan mencetuskan imej alam semula jadi seperti tebing, bukit pasir, serta hamparan langit. Setiap rekaan tampil sebagai serpihan landskap yang kaya dengan emosi dan imaginasi.
Untuk kolaborasi ini, Caroline menghasilkan sembilan rekaan landskap eksklusif yang menampilkan gabungan tekstur, rona dan jahitan halus. Melalui kepakaran artisan Longchamp, karya seni tersebut diterjemahkan menjadi koleksi fesyen yang unik dan penuh karakter.
“Setiap musim saya sentiasa mencari bakat kreatif baharu. Apabila saya menemui hasil karya Caroline Hélain, saya bukan sahaja tertarik dengan kehalusan emosinya, malah turut mengagumi ketepatan teknik yang digunakan. Kedua-dua aspek ini mencerminkan rasa ingin tahu merangkumi kreatif dan kepakaran yang sentiasa menjadi identiti Longchamp. Itulah yang menjadikan kolaborasi ini begitu semula jadi untuk koleksi musim sejuk 2026,” kongsi Sophie Delafontaine, Pengarah Kreatif Longchamp.
Bagi rangkaian Daylong, motif landskap dihasilkan menggunakan lapisan kulit yang dipotong dan dijahit dengan penuh detil dan teliti di bengkel Longchamp. Koleksi ini terdiri daripada beg mini dan beg weekender yang diinspirasikan oleh semangat pengembaraan serta penemuan destinasi baharu.
Sementara itu, rekaan landskap turut menghiasi koleksi pakaian baju panas dan gaun labuh menjadikan keseluruhan permukaan pakaian sebagai kanvas seni yang lembut dan menyeluruh.
Antara item paling menonjol ialah baju tanpa lengan yang menggunakan kulit anak lembu yang dipadankan dengan fabrik bulu dara bouclé. Gabungan dua material mewah ini menggambarkan pemandangan bukit pasir di bawah langit biru melalui permainan tona warna yang kaya.
Motif grafik Caroline Hélain turut menghiasi aksesori dan pakaian asas gaya nomad Longchamp, termasuk skarf sutera, selendang kasmir, kemeja-T dengan motif pada poket serta beg kanvas kapas Le Pliage Collection dalam pilihan warna semula jadi seperti Olive, Thistle, Caramel dan Ballet.
Koleksi kapsul Longchamp x Caroline Hélain boleh didapati di butik Longchamp terpilih dan menerusi laman web rasmi Longchamp bermula 4 Ogos 2026. Klik pautan INI untuk melihat koleksi penuh.








