Saya penggemar hitam putih, selain baju dan seluar, aksesori pilihan saya juga banyak datang dalam warna yang sama. Jadi bila melihat koleksi Maison Kitsuné x Samsonite, hati saya terus berkata ‘I love it’. Tambahan pula hadir dalam warna monokrom menjadikan koleksi ini malar segar di sebalik rekaan yang chic.
Pejam celik pejam celik kita hanya tinggal sebulan lebih sahaja lagi sebelum melangkah ke tahun baharu. Dan baki hari penghujung tahun biasanya menjadi pilihan ramai untuk berpergian, ada yang memilih untuk ke luar negara dan ada juga yang lebih senang bercuti dekat-dekat sahaja.
Bagi saya dekat atau jauh bukan soalnya, yang penting bagaimana kita memeanfaatkan masa bercuti itu. Dan sama penting juga bagaimana kita mengatur gaya bila bercuti. Di era media sosial ini memang ramai menjadikan bercuti sebagai satu ruang untuk bergaya. Ada yang sudah mengatur pakaian dan suai padan mengikut hari.
Tapi pakaian cantik sahaja tak memadai jika bagasi mengisinya tidak sama bergaya. Saya percaya hari ini ramai juga yang mementingkan pemilihan bagasi cuti, bukan dari segi saiz dan ketahanannya sahaja, luarannya juga mestilah nampak menarik.
Terbaru, label bagasi terkenal dunia, Samsonite menjalin kolaborasi bersama label fesyen dan gaya hidup tersohor, Maison Kitsuné. Saya kira ini penyatuan yang sangat menarik kerana Samsonite kita sudah tahu akan kualitinya dan Maison Kitsuné pula memang punya identiti yang sangat tersendiri dan semestinya stylish.
‘Carry Your Wanderlust’ menjadi tagline kolaborasi ini dan dari situ sudah dapat dibayangkan bagaimana rupa himpunannya. Samsonite dan Maison Kitsuné menggambarkan sesiapa yang menggayakan beg dan bagasi koleksi ini adalah seorang yang bersikap terbuka dan berani untuk menerokai dunia.
Koleksi ini hadir dengan enam stail dan himpunan ini didominasi dengan ton monokrom, hitam dan putih. Lebih menarik koleksi ini juga disempurnakan dengan kemunculan cetakan ‘Camo Fox’ yang sudah sebati dengan identiti Maison Kitsuné. Dari beg sandang/silang badan, ke bagasi besar (Spinner 68 luggage) untuk percutian yang panjang hinggalah ke beg galas (Rolltop Backpack), setiap satunya dilengkapi dengan kemasan yang praktikal.
Melihatkan foto-foto kempen ini, Samsonite menyajikan satu kempen yang segar dan punya sisi edgy yang tersendiri. Unsur seni moden Jepun diserap dalam dan diterjemah secara halus menerusi imej-imej yang dirakam. Mereka menyatukan elemen fun, stylish dan sofistikated dalam satu kempen yang sangat bersahaja.
Himpunan Maison Kitsuné x Samsonite sudah berada di butik-butik Samsonite bermula 16 November, iaitu di Suria KLCC, 1 Utama Shopping Centre, Mid Valley Megamall, IOI City Mall dan Sunway Pyramid. Anda juga boleh membelinya secara dalam talian di pautan samsonite.com.my