Ryan, pereka di sebalik jenama Huntilanak, hadir dengan visi berani yang menggabungkan budaya, imaginasi dan pertukangan halus dalam setiap rekaan.
Di sebalik jenama avant-garde Huntilanak, berdiri seorang pereka muda bernama Ryan yang tidak takut bereksperimen dengan idea, tekstur dan simbolisme budaya. Bermula daripada keputusan spontan untuk menyambung pengajian dalam fesyen, Ryan kini muncul sebagai salah seorang pereka generasi baharu yang mencabar batasan rekaan tradisional. Dengan sentuhan unik yang menggabungkan elemen seram, indah dan penuh perincian, Huntilanak bukan sekadar label fesyen – ia adalah sebuah dunia imaginasi yang mengundang rasa ingin tahu, ketakutan, dan kekaguman dalam satu nafas.
Boleh kongsikan sedikit tentang latar belakang anda dan apa yang membawa anda ke bidang reka bentuk fesyen?
Saya belajar di Esmod Kuala Lumpur. Sejujurnya, fesyen bukanlah sesuatu yang saya rancang dari awal – pada mulanya saya bercadang untuk buat A-level kerana keputusan SPM saya agak baik. Tetapi ibu saya menggalakkan saya untuk meneroka bidang seni, dengan fikir mungkin saya akan lebih seronok dalam sesuatu yang kreatif.
Pada masa itu, saya tidak ada industri khusus dalam fikiran.. saya hanya tahu saya mahukan sesuatu yang tidak kaku atau terlalu akademik. Saya ternampak program reka bentuk fesyen di The One Academy, nampak menarik, jadi saya fikir, kenapa tidak? Keputusan spontan itu sebenarnya menjadi titik mula segalanya.
Bagaimana anda akan menggambarkan gaya reka bentuk anda dalam tiga perkataan?
Bertekstur, Budaya, Craftmanship.
Jika jenama anda adalah watak dalam sebuah filem, siapakah dia dan mengapa?
Sudah tentu protagonis utama dalam Mononoke. Dia tidak ada nama pun, hanya dikenali sebagai “Penjual Ubat”. Saya selalu rasa dunia Mononoke mencerminkan semangat jenama saya: menyeramkan tetapi indah, sarat dengan simbolisme budaya, dan sangat berwarna-warni. Ada ketegangan berterusan antara yang seram dan yang berhias, dan saya suka kontras itu.
Biasanya bila kita fikir tentang sesuatu yang menakutkan, kita bayangkan tona gelap dan suram – tetapi Mononoke membalikkan tanggapan itu dengan warna-warna berani dan perincian rumit, dan kontras itu sangat selari dengan cara saya mendekati Huntilanak.
Selain itu, pengarahan seninya jelas sangat teliti dan disengajakan – itulah juga bagaimana saya harap orang melihat hasil kerja saya: pelik, layered, dan dibuat dengan penuh teliti.
Ceritakan tentang ‘Monster Jacket’ ikonik anda, apa kisah di sebaliknya dan dari mana datangnya inspirasi?
Ia sebenarnya bermula daripada tabiat saya mengumpul topeng semasa mengembara. Pada satu ketika, saya cuba menggerudi lubang pada salah satu topeng kayu untuk dijahit pada jaket kerana dalam bayangan saya, ia nampak hebat. Tetapi secara praktikal, ia tidak menjadi.
Topeng itu terlalu besar dan keras, dan saya tidak boleh duduk dengan selesa dengan seketul kayu di belakang. Jadi saya fikir, kenapa tidak cuba hasilkan semula topeng itu dalam bentuk fabrik? Eksperimen itu akhirnya menjadi Monster Jacket.
gambar





Pada pendapat anda, apa yang paling diperlukan dalam industri fesyen sekarang?
Sokongan. Sokongan yang nyata dan kukuh. Sama ada daripada orang ramai, institusi, atau kerajaan. Malaysia kaya dengan budaya, sejarah, dan identiti visual.. begitu banyak sumber inspirasi di sini. Dan kita juga tidak kekurangan bakat. Tetapi realitinya, ramai pereka muda atau baru tidak mendapat peluang untuk benar-benar serius dalam fesyen. Ia sering jadi satu keistimewaan hanya untuk mereka yang mampu.. dan walaupun begitu, ramai akhirnya terpaksa berhijrah ke luar negara untuk mendapatkan infrastruktur atau pengiktirafan yang lebih baik.
Kalau kita mahu ekosistem fesyen yang berkembang, kita perlu memupuknya di tanah air. Itu bermaksud dana, platform, pendidikan, dan pelaburan jangka panjang.. bukan hanya untuk yang sudah berjaya, tetapi juga untuk yang bawah tanah, yang sedang naik, dan yang eksperimental. Dan sejujurnya, ini bukan hanya untuk fesyen, tetapi untuk industri seni secara keseluruhan. Sama ada seni visual, persembahan, filem, atau fesyen, komuniti kreatif di Malaysia memerlukan lebih banyak sokongan struktur untuk berkembang secara mampan. Potensi kita sangat besar – tetapi potensi tidak bermakna tanpa ruang dan sokongan untuk berkembang.
Apakah jenis muzik atau senarai lagu yang anda dengar ketika bekerja pada rekaan anda?
Oh gosh.. Taylor Swift hahaha
Anda gemar bereksperimen, bagaimana anda hasilkan tekstil sendiri untuk KLFW 2025?
Untuk KLFW 2025, saya berkolaborasi dengan artis multidisiplin yang sangat berbakat, Silas Oo @robotinpyjamas. Saya tidak dapat tekankan betapa berbakatnya dia. Bersama-sama, kami membangunkan tekstil khas dari awal, diinspirasikan daripada karya tekstil beliau yang sedia ada. Kami sebenarnya menyesuaikan dan mengolah karya tekstilnya khusus untuk koleksi ini, supaya ia boleh berfungsi sebagai fabrik yang saya boleh potong, bentuk, dan jadikan pakaian.
Selepas asas tekstil itu dibangunkan, saya tambah lapisan eksperimen saya sendiri, dengan memasukkan batu kristal ke dalam fabrik untuk menambah kedalaman dan perincian. Silas juga menghasilkan visual dan jemputan untuk pertunjukan KLFW, jadi sentuhannya ada di seluruh persembahan. Ia memang kolaborasi yang menyeronokkan – dua pendekatan berbeza bergabung dalam satu alam material yang sama.





Apakah hobi anda atau perkara yang anda lakukan untuk berseronok di luar fesyen?
Di luar fesyen, saya suka pelbagai perkara – permainan video, bersenam, tabletop RPGs, dan belajar kemahiran baru hanya untuk suka-suka. Saya jenis orang yang biasanya terbuka untuk cuba hampir apa sahaja. Walaupun saya suka lakukan sesuatu sendiri, ia selalu lebih menyeronokkan bila bersama rakan.
Sama ada sesuatu yang fizikal atau yang rawak sekalipun, saya suka kekal aktif dan ingin tahu.
Kopi, teh, atau sesuatu yang lain – apa yang buat anda bertahan ketika malam rekaan yang panjang?
Mungkin campuran adrenalin dan kegelisahan, sejujurnya. Saya tidak minum kopi atau teh. Minuman pilihan saya hanyalah segelas air sejuk berais. Tiada yang setanding rasanya pada pukul 3 pagi ketika anda sedang panik dan persoalkan pilihan hidup anda haha.
Apa nasihat anda untuk pereka muda yang baru bermula?
Sejujurnya, saya masih anggap diri saya sebagai pereka yang sedang membina juga, jadi saya tidak ada semua jawapan. Tetapi kalau ada nasihat yang boleh saya beri, ia adalah: kalau anda bukan dari latar belakang yang stabil dari segi kewangan atau sokongan, cuba bina kemahiran di luar fesyen. Anda mungkin perlu bekerja dalam bidang lain untuk membiayai kerja kreatif anda, dan memiliki set kemahiran lebih luas memang membantu.
Selain itu – rangkaian. Saya tidak dapat tekankan perkara ini cukup. Saya seorang introvert, dan yang saya mahu hanyalah membuat pakaian. Tetapi lama-kelamaan, saya sedar betapa pentingnya untuk hadir di ruang yang betul. Orang memang mahu membantu, tetapi mereka tidak boleh kalau tidak tahu anda wujud. Jadi teruskan tonjolkan diri anda, walaupun pada mulanya rasa tidak selesa.
Dan berkawanlah dengan pereka lain. Anda akan cepat sedar bahawa tidak semua orang sebenarnya sesempurna atau “tersusun” seperti yang nampak di media sosial. Kita semua masih mencari jalan. tolong satu sama lain, kongsi ilmu, dan kekal terhubung. Saya sangat bertuah ada seseorang seperti David (aka ghostboy) sebagai rakan rapat, dia banyak mengajar dan menyokong saya dengan cara yang saya sendiri tidak sedar saya perlukan.
Apabila melihat kembali 10 tahun dari sekarang, bagaimana anda mahu orang mengingati hasil kerja anda?
Saya harap ia memberi inspirasi kepada orang. Anda tahu perasaan bila menonton filem yang hebat atau melihat karya seni yang menakjubkan, dan selepas itu anda terasa ingin hasilkan sesuatu sendiri? Itu. Itulah perasaan yang saya mahu orang rasai bila melihat hasil kerja saya. Bukan semestinya, “Wow ini sempurna,” tetapi lebih kepada, “Ini buat saya mahu mula sesuatu, cuba sesuatu, atau teruskan.” Jika karya saya boleh mencetuskan rasa itu dalam diri seseorang, saya akan sangat gembira.
Baca:
“Teruskan Bereksperimen Hingga Temui Yang Paling Serasi Dengan Diri”- Sodiqin Shaz, Shaznash
“Sentiasa Berani Untuk Bermimpi Walaupun Ia Tidak Masuk Akal” – Raja Irfan
“Jangan Takut Untuk Jadi Pelik, Berani, dan 100 Peratus Diri Sendiri” – Uzair Shoid