Penampilan Tengku Puteri Afzan benar-benar mencuri tumpuan ramai dengan busana serba putih daripada akad nikah sehingga persandingannya bersama FD Idzham.
Pada 22 Ogos 2024 (Khamis) di sekitar jam 9 malam, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar. Istiadat Akad Nikah yang berlangsung dengan penuh adat dan tradisi diraja Pahang ini dilaksanakan di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz.
Tengku Puteri Afzan tampil memukau dalam persalinan berona putih suci yang direka khas oleh Haute Couture rekaan Rizalman. Rekaan yang elegan, disertai dengan pemilihan kain berkualiti tinggi, menjadikan sosok beliau menawan perhatian setiap mata yang memandang.
Tatarias untuk hari pernikahan, Tengku Puteri Afzan mendapatkan sentuhan magis jurumekap Roslan Nasir di mana dia berjaya menaikkan seri pengantin pada wajah Tengku Puteri Afzan sehingga kelihatan sangat ayu dan lembut.
Penataan gaya hijab pula, Tengku Puteri Afzan mendapatkan sentuhan jurumekap yang tidak asing lagi, Nazrul Anas Zunaidi.
Semasa Istiadat Berinai, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarung Haute Couture rekaan Rizalman di mana dia menggunakan Tenun Pahang.
Tatarias wajah Tengku Puteri Afzan pula disempurnakan oleh jurusolek tersohor, Rozlan Nassir. Sentuhan magis jurusolek ini berjaya menyerlahkan kecantikan semula jadi Tengku Puteri Afzan, dengan solekan yang kelihatan segar dan natural namun tetap penuh keanggunan.
Hijab juga digayakan oleh Nazrul Anas Zunaidi. kain yang dipilih dengan teliti, dihias dengan kemas dan anggun, menyerlahkan aura kerabat diraja.
Majlis bersanding berlangsung pada 25 Ogos 2024, Ahad di Balai Mahkita, Istana Abdulaziz. Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah cukup elegan dalam busana Haute Couture rekaan Rizalman. Busana yang disarung puteri diraja negeri Pahang ini benar-benar menyerlahkan keanggunan dan kehalusan seni dalam setiap jahitan, mencerminkan gabungan antara tradisi diraja dan cita rasa moden.
Solekannya sama seperti akad nikah dan berinai, dirias oleh Rozlan Nassir dan hijab digayakan oleh Nazrul Anas Zunaidi.
Gabungan tiga individu berbakat besar ini jelas berjaya menzahirkan keindahan dan keagungan penampilan Tengku Puteri Afzan.