Dior melancarkan kempen baharu beg tangan termasyhurnya, Lady Dior yang dirakam di Pavillon de Musique de la Comtesse du Barry.
Pada waktu ini saya percaya jantung Jonathan Anderson berdegup kencang, berdebar-debar membilang detik untuk mementaskan visinya untuk Dior menerusi koleksi debut buat Dior (himpunan sedia pakai buat wanita) yang bakal dipertontokan di Minggu Fesyen Paris.
Tapi sebelum berkongsi idea geliganya menerusi koleksi ini, Jonathan Anderson terlebih dahulu melancarkan kempen Lady Dior yang mana potret untuk kempen ini dirakamkan oleh jurugambar fesyen terkenal, David Sims.

Kempen terbaru ini diserikan dengan kehadiran tiga muse baharu rumah fesyen Paris itu iaitu Mia Goth, Greta Lee dan Mikey Madison. Ketiga-tiga aktres berkaliber ini tampil dalam gaya yang cukup bersahaja, lebih relaks sekaligus menghembus nafas moden pada kempen terbaru ini.
“Lady Dior merupakan salah satu beg paling ikonik dalam sejarah. Saya suka apabila beg ini dipadankan dengan individu seperti Mia, Greta atau Mikey, ia serta-merta berubah menjadi sesuatu yang baharu,” kata Jonatan Anderson.

Sejak mula diperkenalkan dari era Dior dikepalai dari John Galliano kemudian diganti dengan Raf Simons hinggalah Maria Grazia Chiuri, kini tiba giliran pengarah kreatif baharu Dior, Jonatahan Anderson mencabar kreativiti dalam mengolah tas tangan ikonik, Lady Dior.

Sedikit informasi buat yang tidak mengetahui, sebelum mendapat nama barunya itu, Lady Dior dinamakan sebagai The Chouchou. Beg tangan ini dihadiahkan oleh wanita pertama Perancis pada waktu itu, Bernadette Chirac buat Puteri Diana. Ketika itu Puteri Diana menghadiri satu acara di Grand Palais. Pada waktu itu The Chouchou belum lagi dijual kepada umum. Beg Lady Dior menjadi masyhur selepas Puteri Diana dilihat kerap menggayakannya, dan pada tahun 1996 secara rasminya The Chouchou bertukar nama.
Koleksi Lady Dior oleh Jonathan Anderson ini akan mula berada di butik Dior bermula Januari tahun hadapan.
BACA: 9 Sebab Mengapa Pameran Christian Dior Designer of Dreams di Seoul Paling Menarik Setakat Ini