Malaysia mungkin kecil dalam peta fesyen dunia, tetapi bakat model tempatan tidak kurang hebatnya. Ada yang pernah berjalan di Paris, Milan dan Mumbai, malah menghiasi runway untuk nama-nama besar seperti Louis Vuitton, Dior, Balenciaga, Rick Owens dan Hermès.
Perjalanan mereka membuktikan bahawa model dari Malaysia juga mampu bersaing di pentas antarabangsa. Jom ikut EH! kenali lima model tempatan yang pernah membawa nama Malaysia ke dunia fesyen global.
Ridzman Zidaine

Nama Ridzman Zidaine semakin dikenali selepas berjaya menembusi pentas fesyen antarabangsa. Dia mula mendapat perhatian global sekitar 2019 sebelum muncul di runway Louis Vuitton dan Hermès.
Antara pencapaian pentingnya ialah ketika Ridzman berjalan untuk Louis Vuitton Men’s Pre-Fall 2024 di Hong Kong. Dia kemudiannya kembali ke runway Louis Vuitton di Paris, termasuk untuk pertunjukan Men’s Spring/Summer 2027 sempena Paris Fashion Week.
Portfolio Ridzman turut merangkumi nama besar seperti Zegna dan Issey Miyake. Dengan pengalaman di pentas fesyen antarabangsa, Ridzman terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara model Malaysia yang mencipta nama di peringkat global.
Shikin Gomez

Kalau anda mengikuti Asia’s Next Top Model, nama Shikin Gomez pastinya tidak asing lagi. Shikin merupakan naib juara musim kelima rancangan tersebut dan sejak itu terus aktif membina kerjaya dalam dunia modelling.
Pada 2023, dia mencuri perhatian apabila berjalan untuk Dior Pre-Fall 2023 di Mumbai, India. Terbaharu, Shikin kembali ke pentas antarabangsa apabila berjalan untuk Dreamers in Exile by Dreaming Eli sempena London Fashion Week 2027.
Gwen Lu

Berasal dari Penang, Gwen Lu merupakan antara model Malaysia yang berjaya membina nama di pentas fesyen antarabangsa.
Kerjayanya membawanya ke beberapa pasaran modelling seperti Tokyo dan Cape Town, selain pernah berjalan untuk jenama seperti KENZO, Balenciaga dan MGSM.
Gwen turut menghiasi runway Issey Miyake Spring/Summer 2026, menambah satu lagi nama besar dalam portfolio antarabangsa beliau. Bukan runway sahaja, Gwen juga pernah muncul dalam penerbitan fesyen seperti Vogue dan Harper’s Bazaar.
Atikah Karim

Atikah Karim pula membawa pengalaman yang cukup berbeza. Model kelahiran Sabah ini mula serius dalam dunia modelling selepas menyertai pertandingan Ford Models Supermodel of the World Malaysia ketika berusia 18 tahun.
Langkah tersebut membuka peluang untuknya membina kerjaya di peringkat antarabangsa. Atikah kemudiannya berjalan untuk jenama seperti Polo Ralph Lauren dan Rick Owens.
Kini berpangkalan di New York, Atikah turut bekerjasama dengan jenama seperti Eileen Fisher, Gap, Athleta dan Nike. Namanya juga pernah muncul dalam penerbitan seperti L’Officiel dan Harper’s Bazaar. Terbaru, Atikah berjalan untuk pementasan Chanel musim bunga/panas 2027 di Paris.
Vanizha Vasanthanathan

Vanizha Vasanthanathan, atau lebih dikenali sebagai Vee, turut mempunyai pengalaman runway di beberapa negara.
Pada 2016, dia menjadi antara model Malaysia yang berjalan di Lakmé Fashion Week di India. Beberapa tahun kemudian, Vee meneruskan langkahnya ke pentas fesyen China dan berjalan untuk beberapa jenama termasuk Eve Cina, Chen Wen dan Ji Wenbo.
Pada 2022 pula, dia membuat kemunculan di Milan apabila berjalan untuk Marco Rambaldi.
Ling Tan

Nama Ling Tan merupakan antara nama paling penting dalam sejarah peragaan Malaysia di pentas antarabangsa. Model kelahiran Kuala Lumpur ini mula mencipta nama di New York pada era 1990-an selepas ditemui ketika berada di sebuah hotel.
Sepanjang kerjayanya, Ling Tan pernah berjalan untuk jenama seperti Mugler dan Alexander Wang. Pada 1996 pula, dia mencipta sejarah apabila menjadi model Asia pertama yang berjalan di Victoria’s Secret Fashion Show, berkongsi pentas dengan supermodel seperti Tyra Banks dan Naomi Campbell.
Kerjayanya di pentas global menjadikan Ling Tan antara perintis yang membuka jalan untuk lebih ramai model Asia dalam industri fesyen antarabangsa.
