Kehadiran pengacara dan usahawan terkemuka, Neelofa ke pertunjukan fesyen di Kota New York baru-baru ini telah mendapat liputan luas, khususnya media tempatan. Bahkan, gaya yang diragakan Neelofa sentiasa menjadi bualan hangat di laman sosial seiring kejayaannya meraih jemputan ke pertunjukan fesyen paling banyak berbanding selebriti tempatan lain.
Bukan sekadar dijemput menghadiri pertunjukan fesyen semata, Neelofa juga difahamkan berkesempatan memenuhi jemputan makan malam bersama pereka fesyen jenama mewah antarabangsa di Kota New York.
Selain berpeluang bersua muka bersama figura terkenal dunia di New York Fashion Week 2019, Neelofa juga turut menjadi perhatian ramai kerana beliau merupakan antara tetamu yang diberi penghormatan untuk duduk di bangku hadapan bagi setiap pementasan fesyen jenama terkemuka tersebut.
Meskipun bertubuh kecil dan berketinggian wanita Asia, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor merupakan ikon fesyen lokal yang sentiasa berani mempertaruhkan gaya dengan mencuba sesuatu yang baru.
Walaupun telah mengambil keputusan untuk berlitup hijab sepenuhnya, ia bukanlah penghalang untuk Neelofa tampil bergaya menyarung busana mewah rekaan pereka antarabangsa dengan penuh citarasa.
Perkongsian Neelofa di laman Instagram miliknya menyaksikan gaya yang dilaramnya menjadi tumpuan lensa kamera ketika berpijak di setiap pementasan, malah setiap busana yang disarung Neelofa kelihatan amat sesuai dengan gaya modesty sebagai seorang wanita muslim.
Oleh itu, EH! pahatkan beberapa momen indah Neelofa sepanjang memenuhi jemputan jenama terkemuka global seperti Tommy Hilfiger, Long Champ, Tory Burch dan Marc Jacobs di New York Fashion Week 2019.
https://www.instagram.com/p/B2TO4iBn5We/
Bertemu Pereka Terkenal, Michael Kors
Pertemuan empat mata antara Neelofa dan pereka tersebut mula tular di laman sosial apabila perkongsian itu dibuat Neelofa di laman Instagram miliknya.
Menurut Neelofa, beliau amat teruja kerana berkesempatan meluangkan masanya bertemu pereka itu malah saling berkongsi pendapat berkenaan perihal modest fashion dan hijab dalam industri fesyen. Meskipun hanya 10 minit pertemuan, momen tersebut adalah yang paling bermakna buat Neelofa kerana bukan semua individu berpeluang bertemu pereka tersebut secara eksklusif.
https://www.instagram.com/p/B2MPaBHHVLu/
Dirai Tommy Hilfiger Semasa Sesi “Fitting”
Ketika sedang kusyuk menyarung persalinan mewah hasil rekaan pereka Tommy Hilfiger, Neelofa dikatakan menerima kejutan yang tidak dijangka apabila beliau disapa pereka tersebut sambil Tommy menitip komen positif terhadap busana yang digayakan Neelofa semasa sesi fitting tersebut.
Neelofa turut mengabadikan kenangan itu di laman Instagramnya dengan kapsyen “Looked who popped by during my fitting. The man behind the iconic brand himself! Mr Tommy Hilfiger #TommyHilfiger #NYFW #tommyhilfigermy”. Malah rasa teruja tersebut seolah memaksa Neelofa memuat naik video berdurasi 2.48 saat di IGTV agar memori tersebut dapat dikongsikan bersama pengikut dan peminatnya di laman berkenaan.
https://www.instagram.com/p/B2O_vGYni88/
Bertemu Model Hijab Tersohor Dunia, Halima Aden
Sebut sahaja nama Halima Aden, pasti ramai dalam kalangan wanita berhijab mengagumi keberaniannya dalam dunia peragaan. Model hijab pertama yang berjaya mengikat kontrak dengan agensi model top di dunia, “IMG” ini difahamkan bertemu Neelofa di pertunjukan fesyen jenama Tory Burch.
Detik manis itu turut dirakam Neelofa dan menyaksikan kedua mereka kelihatan amat teruja sambil berpelukan mengukap perbualan manis bersama ketika berada di pentas peragaan tersebut. Tidak hairanlah kedua-dua individu ini dikatakan amat berpengaruh dan boleh dijadikan inspirasi buat semua lapisan masyarakat di seluruh dunia.
Ungguli Pengiktirafan Hollywood
Menggayakan jaket bermotifkan harimau bintang ketika menghadiri pementasan koleksi jenama Michael Kors serta dipadankan bersama tas tangan berona perak dengan cetakan yang sama, tidak hairanlah kelibat Neelofa mencuri perhatian ramai.
Menurut sumber daripada media antarabangsa Daily Mail, usahawan yang juga pemilik jenama tudung popular, Naelofar itu mendapat pengiktirafan dan memenangi anugerah Paling Hollywood kerana berjaya menonjolkan gaya serta stail yang unggul di New York Fashion Week 2019.
Lebih membanggakan, gaya modest yang dibawa Neelofa dipandang tinggi di kota tersebut sekaligus memperlihatkan wanita berhijab kini mampu berdiri sama tinggi sebaris selebriti terkemuka dunia di acara tersebut.