Bila keselesaan, fungsi dan gaya bertemu, lahirlah koleksi yang bukan sekadar cantik dipandang, tetapi cukup praktikal untuk menemani setiap langkah wanita moden.
Ada sesuatu yang cukup peribadi tentang meja kerja. Di situlah idea tercetus, tugasan diselesaikan, impian dibina dan hari-hari panjang dilalui. Bagi pereka kasut Nelissa Hilman, meja kerja juga menyimpan satu gambaran yang sederhana tetapi penuh makna, beg yang diselit di bawah meja, kasut yang ditanggalkan dan kaki yang akhirnya bebas selepas seharian bekerja.
Daripada momen kecil yang jarang dirakam itu, lahirlah The Foundation Edit 2026, sebuah koleksi yang mengangkat keselesaan, kestabilan dan fungsi sebagai asas kepada gaya wanita masa kini.
“Meja kerja adalah tempat inspirasi dan impian dibina,” kongsi Nelissa, menggambarkan ruang itu sebagai saksi kepada sejarah, kreativiti dan hubungan manusia. Daripada sekadar tempat untuk menunggu, meja kerjanya berubah menjadi ruang untuk membina sesuatu yang lebih besar.
Gaya yang kekal relevan
Foundation bukan koleksi yang mengejar trend semata-mata. Sebaliknya, ia terdiri daripada siluet yang mudah dipakai dan direka untuk menjadi sebahagian daripada rutin harian.
Keseluruhan koleksi dibangunkan berasaskan shoe last yang sama dan diperhalusi dari semasa ke semasa. Hasilnya ialah rekaan yang menitikberatkan bentuk, keselesaan dan ketahanan, kasut yang boleh terus menjadi pilihan walaupun musim fesyen berubah.
Enam gaya untuk setiap langkah
Koleksi ini menampilkan enam rekaan untuk gaya harian, daripada flat loafers dan slip-on sandals hingga pumps, slingback flats, classic heels dan mules.
Hadir dalam pilihan warna yang pelbagai, setiap rekaan mengutamakan keselesaan serta mudah digayakan untuk ke pejabat atau hujung minggu. Harganya bermula RM289 hingga RM379.
Baca: 6 Beg COACH Paling Stylish Untuk Lengkapkan Gaya Konsert Anda




