Casio membawa estetika matcha ke pergelangan tangan menerusi kolaborasi terbaharunya bersama Café Kitsuné, menggabungkan siluet retro ikonik Casio Vintage dengan sentuhan Franco-Japanese yang menjadi identiti Café Kitsuné, kolaborasi ini hadir dalam bentuk jam tangan analog-digital dengan dial hijau lembut seakan secawan matcha yang diterjemahkan menjadi aksesori bergaya.
Secawan Matcha Jadi Inspirasi
Diasaskan pada 2013, Café Kitsuné kini mempunyai lebih 30 lokasi di seluruh dunia, termasuk Tokyo, Paris, Seoul, Bali, Dubai dan Beijing. Menurut Casio, jenama kafe di bawah Maison Kitsuné itu juga merupakan antara yang terawal membawa budaya matcha ke Paris sejak 2014.
Jadi, tidak hairanlah minuman berasaskan teh Jepun itu menjadi inspirasi utama kolaborasi ini, apatah lagi kedua-dua jenama mempunyai hubungan tersendiri dengan budaya dan estetika Jepun.
Pada AQ-230ECK-3A, rona hijau matcha memenuhi bahagian dial sebelum dipadankan dengan kemasan perak klasik Casio. Simbol rubah yang cukup sinonim dengan Café Kitsuné turut diletakkan secara halus pada muka jam, memberikan identiti tersendiri tanpa membuatkan rekaannya terasa terlalu sarat.
Minimal, sedikit nostalgia dan cukup mudah digayakan. Dalam kata lain, jika secawan matcha Café Kitsuné boleh diterjemahkan menjadi sebuah jam tangan, mungkin beginilah rupanya.

Detail Kecil Yang Membuatkannya Istimewa
Identiti Café Kitsuné tidak terhenti pada dial. Bahagian belakang jam dihiasi ukiran logo Café Kitsuné bersama simbol rubah, manakala nama jenama itu turut tertera pada bahagian clasp. Melengkapkan kolaborasi ini ialah kotak khas berona hijau yang meneruskan inspirasi matcha sehingga ke pembungkusannya.
Detailnya mungkin kecil, tetapi di situlah terletaknya daya tarikan AQ-230ECK-3A. Elemen Café Kitsuné tidak cuba menenggelamkan identiti asal Casio, sebaliknya kedua-dua jenama diberi ruang untuk menyerlah dengan cara yang cukup seimbang.
Masih Casio Yang Kita Kenal
Di sebalik rupa yang mudah membuat peminat fesyen jatuh cinta, AQ-230ECK-3A masih sebuah Casio yang praktikal. Model analog-digital ini dilengkapi fungsi dual time, stopwatch 1/100 saat, penggera harian, kalendar automatik serta ketahanan air.
Siluetnya kekal tipis dan klasik, menjadikannya cukup versatil untuk digayakan. Padankan dengan kemeja putih dan denim untuk gaya santai pada siang hari, kemudian tukar kepada blazer atau gaun minimal untuk penampilan lebih kemas pada waktu malam.
Berbanding aksesori yang terlalu bergantung kepada trend semasa, Casio Vintage mempunyai satu kelebihan tersendiri iaitu estetika retronya tidak pernah benar-benar terasa ketinggalan zaman.

Dua Dunia, Satu Estetika
Apa yang membuatkan kolaborasi ini menarik bukan sekadar penggunaan warna hijau matcha. Casio dan Café Kitsuné datang daripada dua dunia berbeza, namun bertemu melalui kecintaan terhadap estetika Jepun yang ringkas dan penuh perhatian terhadap detail.
Casio membawa nostalgia serta fungsi praktikal yang sudah menjadi identitinya selama beberapa dekad, manakala Café Kitsuné pula terkenal dengan gabungan gaya hidup Paris dan Tokyo, merangkumi kopi, matcha, muzik dan fesyen.
Pertemuan itu diterjemahkan dengan cukup sederhana menerusi AQ-230ECK-3A. Tiada logo bersaiz besar atau rekaan yang terlalu eksperimental, sebaliknya personaliti kolaborasi hadir melalui warna, simbol rubah dan detail-detail kecil yang hanya disedari apabila dilihat lebih dekat. Mungkin sebab itu ia terasa lebih seperti sebuah lifestyle piece yang benar-benar boleh dipakai berbanding sekadar merchandise daripada sebuah kolaborasi.
Bila Boleh Dapatkan Di Malaysia?
Berita baik buat peminat tempatan, Casio x Café Kitsuné AQ-230ECK-3A bakal tersedia secara dalam talian di Malaysia bermula 4 September 2026, jam 11 pagi. Casio Malaysia turut memaklumkan bahawa model kolaborasi ini ditawarkan dalam unit terhad.
Jadi, kalau galeri telefon anda sudah dipenuhi gambar secawan matcha dari kafe ke kafe, mungkin sudah tiba masanya membawa obsesi itu ke pergelangan tangan pula. Bezanya, matcha mungkin habis dalam beberapa tegukan, tetapi yang satu ini boleh menemani anda lebih lama.

Artikel Berkaitan: CASIO Vintage Kembali Viral, Digilai Komuniti Fesyen Gen-Z
