Dikurniakan kulit warna berlainan membuatkan pemilihan warna pakaian harus dititik berat. Rona sesuai dengan nada kulit bisa membuatkan anda tampil menonjol dari kebiasaan.
Begitu juga dengan seleksi pilihan rona hijab, warna yang secocok membantu menaikkan seri wajah sekaligus membuat si pemakai tampil anggun dan konfiden. Ikuti panduan memilih rona hijab yang bersesuaian dengan warna kulit anda.
1. Kulit Putih
Anda yang berkulit putih boleh dikategorikan bertuah kerana hampir setiap warna sesuai dikenakan dengan warna kulit ini. Namun harus juga berhati-hati dalam mengenakan warna pudar seperti pastel atau kuning kerana ia boleh membuatkan wajah tampil pucat tidak bermaya. Pilih warna kontra dari kulit iaitu gelap atau terang seperti hitam, merah dan ungu. Warna-warna ini membuatkan raut wajah tampil lebih cerah bercahaya.
2. Kulit Kuning Langsat
Pilih rona terang seperti kuning, merah dan merah jambu. Rona biru juga sesuai untuk digayakan. Elakkan dari memakai coklat gelap atau krim kerana warna tersebut menjadikan kulit wajah tampak kusam.
3. Kulit Sawo Matang
Hindari dari memilih rona yang seakan warna kulit sawo matang iaitu kelabu atau coklat gelap kerana penampilan anda akan tampak suram atau kelam. Rona pastel, terang bahkan gelap seperti ungu atau merah hati amat bersesuaian dengan nada kulit ini.
4. Kulit Gelap
Warna-warna terang seperti merah, jingga, kuning serta royal blue amat sesuai dipadankan dengan kulit gelap. Ianya menonjolkan sifat kontra terhadap rona kulit anda sekaligus menaikkan seri wajah serta tampak segar. Jika mahu tampil lebih berani, gayakan warna neon untuk kelihatan menyerlah. Elakkan warna kusam seperti coklat kerana boleh menenggelamkan penampilan.