Sudah menjadi kebiasaan bagi banyak jenama fesyen untuk memulakan tahun dengan koleksi istimewa sempena Tahun Baru Cina. Berikut adalah jenama tempatan yang mempersembahkan koleksi eksklusif untuk menyemarakkan perayaan ini.
Tahun Baru Cina sering dikaitkan dengan rona merah, simbol keberuntungan, nasib baik, dan kemeriahan. Namun, dalam era moden, industri fesyen kini menawarkan sentuhan kreatif yang lebih segar dan berbeza daripada kebiasaan.
Pereka fesyen tempatan terus menyerlahkan identiti dan keunikan mereka dengan koleksi yang tampil dalam pelbagai warna, bukan hanya merah. Rekaan ini bukan sahaja memberikan kelainan tetapi juga kekal sesuai untuk digayakan sempena perayaan ini. **EH!** senaraikan jenama fesyen lokal yang patut anda cuba untuk menyambut Tahun Baru Cina dengan penuh gaya!
Khoon Hooi
Khoon Hooi melengkapkan Tahun Baru Cina ini dengan sentuhan moden pada rekaan qipao klasik. Koleksi ini menghormati keunikan pakaian tradisional sambil menyuntik elemen cetakan berani, perincian halus, dan tekstur mewah seperti baldu jacquard.
Dengan keseimbangan sempurna antara tradisi dan inovasi, koleksi Tahun Baru Cina Khoon Hooi memastikan anda bukan sahaja menjadi sebahagian daripada perayaan, tetapi juga menjadi salah satu sorotan yang paling diingati.
Melinda Looi
Sempena Tahun Baru Cina kali ini, Melinda Looi membawa kembali nostalgia sinematik melalui koleksi In the Mood for Looi, yang terinspirasi oleh filem ikonik Wong Kar Wai, In the Mood for Love. Koleksi ini menggabungkan siluet vintaj dengan elemen jahitan yang berani, memaparkan keindahan melankolik era Hong Kong 1960-an, namun tetap mengekalkan gaya moden dan segar.
Bagi mereka yang gemar tampil berani dan menonjol, koleksi MELLEAGRIS pula meraikan aura misteri dan semangat transformasi zodiak Ular, dengan tekstur futuristik serta rekaan yang berwarna-warni. Pilihan ini sempurna untuk menyerlah dalam setiap detik perayaan yang penuh gaya.
BEHATI
Didedikasikan untuk mereka yang berani mencabar norma dan ikon fesyen, koleksi BEHATI menonjolkan keberanian dalam rekaan. Fabrik yang pelbagai seperti denim jacquard, broked Cina, dan batik, koleksi ini memadukan qipao dan samfu tradisional serta moden yang pasti memikat hati mereka yang menggemari gaya unik dan tidak konvensional.
Maarimaia
Koleksi Charmed oleh Maarimaia, misalnya, mengambil inspirasi daripada keanggunan zodiak Ular, menampilkan gabungan broked metalik bercorak flora, appliqué halus, serta perincian bulu yang mewah. Setiap helaian dapat memperlihatkan kehalusan seni rekaan yang dicipta untuk memastikan si pemakai kelihatan elegen untuk mencipta kenangan indah musim perayaan ini.