Bermula dari 3 Januari sehingga 19 Januari, Louis Vuitton membuka pop-up di Singapura, dan semua dijemput datang meraikan ulang tahun kolaborasi ikonik, Louis Vuitton X Murakami.
Bila Louis Vuitton mengumumkan pelancaran semula koleksi kolaborasi bersama Murakami ia seakan menghidupkan kembali memori silam sewaktu saya masih di universiti. Sebagai seorang yang setia membeli majalah saban bulan sebaik tamat sekolah, imej-imeh kempen fesyen sangat kuat di ingatan. Koleksi Louis Vuitton x Murakami yang dilancarkan pada tahun 2023 amatlah signifikan. Masakan boleh lupa pada monogram penuh warna selain corak buah ceri dan kuntuman sakura yang tercetak cantik pada tas tangan rumah fesyen Paris itu. Samalah juga dengan gambar-gambar paparazi yang merakam gaya Paris Hilton, Nicole Richie, Jessica Simpson, Naomi Campbell dan Lindsay Lohan yang akrab menjinjing koleksi ini saat mula dilancarkan.
Tahun ini Louis Vuitton x Murakami kembali dirai dengan tiga koleksi, dan sempena pelancaraan koleksi yang pertama, Louis Vuitton melancarkan tujuh pop-up eksklusif di seluruh dunia dan setiap satunya punya ciri dan karakter berbeza. Kota yang menjadi pilihan ialah London, Milan, New York, Seoul, Shanghai, Tokyo dan termasuklah Singapura. Di Singapura, pop-up ini terletak di 72 Joo Chiat Place, sebuah kejiranan dengan senibina peranakan yang diiktiraf oleh UNESCO. Pop-up di Singapura ini juga merupakan satu-satunya pop-up Louis Vuitton x Murakami di Asia Tenggara.
Dari jauh pop-up ini sudah kelihatan sungguh menonjol, dengan eksterior yang disimbahi dengan cat warna biru laut, ia seakan sudah memanggil-manggil tetamu untuk singgah. Tambahan pula dengan hiasan Superflat Garden 3D, berupa smiley flowers serta Monogram Multicolore. Bagi saya ia satu gaya hiasan yang cukup signifikan, sekali pandang sudah tahu apa yang menanti di dalam.
Pintu dan dinding kaca pop-up ini disaratkan dengan Monogram Multicolore, dan ruang pop-up ini dilengkapi dengan beberapa bahagian iaitu ruang jualan, panggung layar, stesyen baik pulihdan juga kafe. Dan langkah pertama sebaik saja anda menjejakkan kaki ke ruang pop-up ini menemukan anda dengan ruang jualan yang mana item-item dari koleksi Louis Vuitton x Murakami bahagian 1 termasuklah Monogram Multicolore, gaya fantasi Superflat Panda dan Superflat Garden ini disusun kemas. Dari tas tangan, aksesori seperti kasut serta sniker, tali pinggang, skarf mahupun pemegang bekas minuman mahupun papan luncur. Di sini juga terdapat satu item edisi terhad yang hanya dijual di pop-up ini iaitu dompet kad LV x TM Superflat Panda.
Turut tersedia ialah mesin goshapon yang mana setiap pembelian akan menawarkan pengunjung token dan anda berpeluang mendapat stiker edisi terhad Louis Vuitton x Murakami, daun terup mahupun permainan Tamagotchis.
Salah satu ruang yang menjadi kesukaan saya ialah panggung teater yang menayangkan dua filem pendek yang pada hemat saya sangat menghiburkan. Mungkin kanak-kanak akan lebih mudah terhibur dengan animasi ini, namun saya percaya orang dewasa juga akan menghargai dua karya animasi ini. Kamar teater ini menayangkan dua filem pendek hasil karya Takashi Murakami. Pertama, Superflat Monogram yang pernah dilancarkan pada tahun 2003, dan yang kedua ialah Superflat First Love yang pernah dilancarkan pada tahun 2009. Karya Takashi Murakami ini adalah diinspirasikan daripada kisah Alice in Wonderland yang mana watak gadis kecil bernama Aya menjadi subjek utama.
Tambah menarik pop-up ini turut menawarkan khdimat baik pulih seiring dengan komitmen Louis Vuitton yang mengutamakan hal kelestarian serta memelihara produk mereka agar boleh diturunkan kepada generasi akan datang. Khidmat ini disediakan khusus untuk memperbaiki koleksi vintaj Louis Vuitton x Murakami dua dekad dahulu.
Khidmat yang disediakan merangkumi gantian bahagian, cucian kanvas dan metal serta khidmat mewarna bahagian yang sudah pudar. Rutin baik pulih dilakukan secara terbuka di sini jadi para pengunjung dapat melihat prosesnya secara terus.
Bagi yang mahu meluangkan masa lebih lama di sini, mungkin boleh duduk bersantai di ruangkafe. Dihiasi dengan kusyen bentuk bunga Murakami yang begitu signifikan, kafe ini menyajikan variasi jenis minuman dari kopi hingga hirupan segar lemonade dan disajikan dalam cawan Louis Vuitton x Murakami Superflat Panda. Dan istimewanya lagi, dengan setiap tempahan minuman pengunjung akan menerima biskut yang diinspirasikan dari ‘bunga senyum’ Superflat Garden.
Bagi anda yang bercadang mahu ke Singapura mungkin boleh selitkan kunjungan ke sini, masuk adalah secara percuma namun anda perlu membuat tempahan awal dengan klik pautan INI untuk pendaftaran.