Dibintangi barisan pelakon berbakat termasuk Sadie Sink dan Maya Hawke, kempen ‘Drawing Prada’ meraikan keindahan seni buatan tangan dalam dunia yang semakin didominasi teknologi digital.
Menjelang musim perayaan, Prada tampil dengan sebuah naratif visual yang cukup mempesona menerusi kempen Holiday terbaharunya, Drawing Prada. Menariknya, jenama fesyen mewah dari Itali ini memilih untuk menyuntik sentuhan nostalgia dengan mengetengahkan ilustrasi lukisan tangan, sekali gus membawa khalayak menyelami sebuah dunia fantasi yang sarat dengan imaginasi dan pesona tersendiri.

Tanpa bergantung kepada kecanggihan kecerdasan buatan (AI), kempen ini meraikan keindahan kreativiti manusia menerusi hasil seni yang dilukis secara tradisional. Satu pendekatan yang cukup istimewa, apatah lagi dalam era digital hari ini yang sering mengagungkan kesempurnaan visual.
Menambahkan seri kempen ini ialah kemunculan barisan pelakon generasi baharu yang semakin mencuri perhatian, termasuk Sadie Sink dan Maya Hawke, yang cukup dikenali menerusi siri popular Stranger Things. Turut menyertai mereka ialah Chen Haoyu, Luther Ford dan Kelvin Harrison Jr.
Menerusi rangkaian filem pendek serta fotografi kempen, kesemua figura ini dibawa ke dalam sebuah dunia musim sejuk yang penuh keajaiban. Latar ilustrasi yang imaginatif, diserikan pula dengan karakter haiwan yang menghiburkan, mencipta suasana seakan-akan berada di dalam helaian buku cerita dongeng. Gabungan realiti dan fantasi ini memberikan nafas baharu kepada kempen perayaan Prada, sekali gus membangkitkan rasa nostalgia terhadap dunia imaginasi zaman kanak-kanak.
Di sebalik keindahan visual tersebut, sentuhan seni ilustrasi dihasilkan oleh animator tersohor, John Pomeroy, bersama pasukannya. Dikenali menerusi penglibatannya dalam beberapa produksi filem terkenal, Pomeroy membawa kepakaran serta kreativiti tersendiri untuk menghidupkan landskap imaginatif Prada menerusi teknik animasi lukisan tangan yang cukup teliti.
Aspek fotografi pula digarap oleh Glen Luchford, yang berjaya menyatukan dunia sebenar dengan persekitaran ilustrasi secara begitu harmoni. Permainan pencahayaan dan perspektif yang diperhalusi menjadikan kedua-dua elemen ini seolah-olah wujud dalam satu dimensi yang sama. Hasilnya, setiap bingkai tampil memukau dengan estetika yang mengingatkan kita kepada keindahan sinema Hollywood klasik serta kisah dongeng tradisional.
Baca: Para Tetamu yang Hadir ke Prada SS27 di Milan Fashion Week










