UNIQLO : C musim luruh/dingin membawakan mesej ‘Modernity in Motion’, menghubungkan praktikaliti, fungsi dan fabrik serta menemukan keanggunanan dan keselesaan.
“Koleksi ini menonjolkan fungsi dan pergerakan helaian asas. Saya memberi perhatian pada prinsip teknikal dalam siluet moden,” kata Clare Waight Keller, pengarah kreatif Uniqlo.
Menurut Clare lagi, koleksi UNIQLO : C untuk musim luruh/dingin 2025 tambah menarik dengan inovasi PUFFTECH, iaitu teknologi masa kini yang membuatkan helaian terasa hangat biarpun materialnya ringan atau tipis, dengan kemasan yang lebih kemas. Apa itu PUFFTECH? ia adalah gabungan puffy dan teknologi, nipis dan sesuai untuk layering.
Dan itulah menariknya Uniqlo kerana biarpun koleksi musim dingin, mereka mengolahnya dengan teknologi, maka tiada lagi baju yang berat dan tebal yang mungkin agak menyusahkan untuk kita yang mahu melancong ke luar negara pada musim dingin. Malah dengan teknologi yang mereka bangunkan, kita sendiri tak nampak janggal bila menyarung baju koleksi musim sejuk yang secara konvensionalnya tebal dan tak sesuai.
Untuk koleksi perempuan, UNIQLO : C menerokai penggunaan tweed agar rekaannya tampak lebih bersahaja dan moden, begitu juga dengan material cashmere yang hadir dalam palet batu permata. Biar ringkas namun punya jiwa gaya yang malar segar.
Menariknya juga, menerusi koleksi ini, buat pertama kalinya UNIQLO memperkenalkan HEATTECH Cashmere Blend untuk koleksi helaian lelaki yakni menerusi rekaan crewneck dan turtleneck, yang jelasnya helaian sebegini tampil klasik, gaya yang selesa namun masih tampak bergaya.
Himpunan ini juga hadir dengan kemeja senteng dan culotte dalam paras midi, gaya yang selesa untuk musim panas namun jika bijak layering tak canggung untuk musim luruh.
Koleksi UNIQLO : C ini akan dilancarkan bermula 21 Julai, dan ia akan mula dijual secara berperingkat sehingga September.