Renda, broked, sutera bersama mainan sulam dan manik sebagai perincian memperindah himpunan Rú Yì, koleksi Tahun Baru Cina Innai Red.
Rú Yì menjadi ‘nama’ pilihan buat himpunan fesyen terbaru Innai Red, sebuah koleksi istimewa sempena ketibaan Tahun Baru Cina. Rú dan Yì andai disatukan membawa istilah ‘semuanya berjalan lancar’. Innai Red mahu tahun ini semangat Rú Yì berhembus kencang di dalam jiwa dan minda, agar semua yang dirancang tahun ini baik-baik belaka.
Sempena ketibaan tahun harimau, jenama yang diasaskan oleh Izrin Ismail ini menyatukan elemen tradisional Cina dalam persembahan fesyen nan lebih moden. Malah Innai Red memberi nadi dan interpretasi baharu kepada DNA mereka sendiri sebagai satu cara untuk menyuntik elemen yang lebih segar pada koleksi ini secara keseluruhannya.
Koleksi ini menyaksikan permainan warna-warna terang, yang lebih menyerlah bersama-sama mainan corak bunga-bungaan. Koleksi Rú Yì dibarisi Qipao dan Cheongsam, ceraian fesyen yang boleh disuai padan dan ada juga gaun bervariasi potongan (juga kelabuhannya) yang sudah manis dan molek dipakai tunggal.
Menyuntik elemen mewah, seiring dengan DNA Innai Red sendiri, mereka mengguna pakai pelbagai fabrik untuk menyempurnakan himpunan ini, dari renda, broked, satin dan sutera. Koleksi ini turut diperindahkan dengan mainan perincian seperti sulaman bunga tiga dimensi, permainan manik juga juraian. Harga bermula dari RM580 hingga RM2,200.
Baca: Empat Model Oriental Terhangat Bintangi Kempen Tahun Harimau Burberry