Peggy Gou semakin mencipta nama dalam industri muzik. DJ asal Berlin berketurunan Korea ini mula mengumpul pengikut setia melalui media sosial. Instagram adalah medium buat pengikut-pengikutnya mendekati penampilan ultra moden Peggy.
Bagi mereka yang meminati dan mengikuti muzik rentak EDM atau ‘house’ pasti tahu akan keberadaan Peggy Gou. Selain bakatnya dalam bidang muzik, Peggy Gou turut memiliki identiti fesyen yang mengagumkan.
Memiliki pengaruh fesyen tersendiri, Louis Vuitton pantas menyunting Peggy Gou untuk dijadikan personaliti kempen fesyen musim luruh/sejuk 2020 yang memfokuskan pada kasut. Kasual, urban, menonjol dan tersisip elemen ‘boyish’ dalam kempen terbaharu ini, yang mana video berdurasi 3 minit memaparkan rutin harian Peggy Gou buat tatapan peminatnya. Dalam video itu, Peggy beraksi lincah dalam beberapa ‘look’ utama Louis Vuitton musim luruh/sejuk 2020, menyandiwarakan dengan rekaan kasut, sniker dan but beragam.
Himpunan kasut wanita Louis Vuitton musim ini memfesyenkan imej-imej ‘cool’, bertunjangkan versi era generasi digital. Peggy Gou ditata gayanya lebih relaks, bersahaja, subtle dan menggambarkan kemodenan.
Gou menonjolkan identiti sebenarnya dalam kempen tersebut. Bukan dibuat-buat. Selesa dengan celana denim, kemeja T putih, jaket parka tebal, Peggy nampak ‘malas’ dan sedikit grungy. Penataan gaya untuk kempen ini melambangkan trend fesyen masa kini yakni diversifikasi juga bernada kesukanan.
Variasi kasut dan but ditampilkan dalam kempen ini. Ada beberapa rekaan yang memfokuskan pada motif garapan koleksi Since 1854. Yang dihiasi pada permukaan sandal PODIUM dan but buku lali SILHOUETTE. Motif monogram flower heel diperincikan pada beberapa rekaan kasut yang unik sekali reka bentuknya. Kasut getah LV ARCHLIGHT dan derby LV BEAUBOURG juga bertindak sebagai ‘watak’ utama dalam kempen tersebut. Untuk gaya yang lebih lasak dan meminjam imejan maskulin, but CHELSEA yang disarung Peggy menggambarkan cita rasa fesyen audience Gen-Z.
Artikel berkaitan: Shopping Louis Vuitton Secara Online