Berilhamkan keyakinan bahawa perjalanan hidup bisa berkembang mekar tanpa batasan, Sharifah Rose tampil dengan debut himpunan hijab, SEKUNTUM.
Aktres yang juga bermula sebagai influencer, Sharifah Rose kini mencapai satu lagi tanggungjawab baru sebagai ahli perniagaan pula apabila muncul dengan jenama hijab miliknya sendiri, Sekuntum. Menerusi himpunan ini dia yang mesra disapa dengan panggilan Rose memasang objektif mahu menyubur pentingnya self-love dan self-growth di kalangan generasi muda menerusi koleksinya. Baginya, sekuntum itu sendiri menjadi perlambangan kepada kehidupan sebkuntum bunga, yang mulanya berputik dan akan berkembang, samalah dengan kehidupan kita. Mencedok pengalaman beliau sendiri dalam mengharungi perjalanan dunia peribadi dan kerjaya, Sekuntum bagaikan laungan kesedaran untuk memperingati kecekalan diri serta harapan untuk sentiasa berkembang menjadi versi diri yang terbaik.
Bunga poppy, sejenis bunga liar, melambangkan kebangkitan dan kelahiran semula. Memberi maksud mendalam iaitu ‘kebangkitan semula sesudah kejatuhan’ dan ‘mencintai diri sesudah dilanda konflik diri’, ia searus dengan tema identiti dan mesej utama Sekuntum.
“Saya ingin melahirkan jenama di mana Muslimah muda dapat bersatu tanpa rasa terasing, sekaligus umpama menjadi ‘kakak’ yang mewakili mereka,” ujar Sharifah. Sutera satin matte telah dipilih oleh Sharifah sendiri untuk dijadikan fabrik tunggal koleksi ini. Fbrik ini dipilih oleh Sharifah kerana merasakan faktor kelembutannya memudahkan manipulasi ketika dipakai, selain kelebihannya yang sentiasa terletak elok walaupun selepas seharian di kepala.
Menerusi koleksi pertamanya, ‘Upstairs Farmers Market’, Sharifah menggamit semula memori zaman kanak-kanaknya ketika di pasar tani. Ibu dan nenek bergesa untuk membeli hasil tanian segar, kehangatan manja mentari pagi menyinari kulit dan haruman semerbak dari lambakan bunga-bungaan yang mengisi ruang udara. Kenangan ini diabadikan dalam rekaan pada tudung menerusi pemilihan warna dan hiasan motif hijau pekat dan merah jambu debu, menghembuskan aura kesegaran sayuran dan bunga-bungaan. Rose juga berhasrat untuk menaburkan benih SEKUNTUM di serata dunia fesyen Muslimah, sehaluan dengan impiannya untuk mewarnai hidup setiap Muslimah di serata dunia dengan rekaan-rekaan Sekuntum.
Sekuntum melancarkan enam rekaan terbaru, berharga RM99 setiap satu, dan sudah boleh dibeli sejak Februari lalu di sekuntum.com dan juga di Shopee.
Artikel berkaitan: Koleksi Kaca Mata Dari Luxottica Semakin Trendy!