Memang secara amnya kita seakan faham-faham sendiri yang seluar jean tak elok dibasuh selalu. Persoalannya berapa kerap elok dibasuh supaya kondisinya bertahan dan kita pun selesa memakai.
Setiap orang saya percaya punya paling tidak sehelai seluar jean. Sewaktu saya membesar itulah seluar yang jadi kesukaan. Jika ke kuliah dulu, itulah seluar saya setiap hari. Bermacam-macam warna saya ada, dari hitam, ke biru gelap hingga ke lusuh. Potongan skinny paling saya suka (dulu-dululah). Saya percaya kalian yang membaca pun begitu.
Dan susah sebenarnya hendak mencari potongan denim yang sesuai dengan kita, jadi bila dah jumpa yang berkenan di hati dan secocok dengan kaki, memang itulah yang kita pakai selalu. Tapi sampai sekarang saya percaya ramai yang tak tahu cara yang tepat untuk menjaga denim. Kerana memang denim tak elok dicuci selalu. Selain warnanya mudah luntur, lama kelamaan bentuk dan teksturnya juga berubah.
JADI APAKAH CARA SEBETULNYA?
Seluar Jean, Berapa Kerap Perlu Dicuci?
jean selepas melalui proses mewarna memang terasa ‘raw’ dan memang sedap dipakai. Rasa mendakap erat di pinggang, punggung dan kaki. Dan jika anda perasan lama-kelamaan potongan denim akan lari dan biasanya bentuk denim ditentukan dengan cara pergerakan kita.
Dan bila sudah dicuci rasa ‘sedap’ memakai seluar denim akan sedikit berubah. Makin dicuci makin ‘longgar’ atau lari bentuknya. Jadi pakar denim memang menyarankan hanya cuci seluar denim beberapa kali saja setahun. Mungkin enam ke lapan kali setahun. Atau jika selalu dipakai sebulan sekali.
Tak Kotor Ke? Ada Bakteria kan?
Betul, memang akan ada bakteria lagi-lagi di bahagian crotch atau celah kangkang. Bahagian itu mudah berpeluh lagi-lagi negara kita cuacanya panas -lembap, humid. Tapi jangan risau kerana bakteria di bahagian itu tidak banyak bezanya, maksudnya jean yang tidak dicuci seminggu tidak banyak beza bakterianya dengan jean yang tak dicuci setahun.
Dan biasanya perintang kulit atau skin barrier orang yang sihat cukup kuat untuk melawan bakteria yang ada pada sepasang seluar denim.
Bagaimana Untuk Kurangkan Bakteria?
Jemur dan anginkannya sahaja. Terbalikkan denim (bahagian dalam ke luar), dan jemur di bawah matahari. Ini antara cara untuk mengurangkan bau seluar yang tidak dicuci. Sebelum atau selepas dijemur anda boleh semburkan pewangi fabrik.
Jangan Guna Pelembut Fabrik
Elak cuci atau rendam seluar jean anda dengan pelembut fabrik. Walaupun anda mahu jean anda berbau harum tapi ini bukanlah pilihan terbaik kerana ia akan membuatkan tekstur denim berubah.
Tapi anda boleh pertimbangkan untuk gunakan preserving detergent iaitu bahan pencuci yang memelihara warna. Carilah yang sesuai dengan warna seluar jean anda. Atau lebih baik gunakan yang berunsur vegan seperti produk di pautan INI.