Ahli BLACKPINK Lisa, Jennie, Jisoo dan Rosé menghadiri acara tersebut bersama-sama buat kali pertama, mencipta momen yang sangat istimewa dan mencuri perhatian ramai.
BLACKPINK bukanlah asing di pentas karpet merah, namun entah bagaimana, keempat-empat ahlinya belum pernah melangkah bersama ke Met Gala, sehinggalah malam ini. Lisa, Jennie, Jisoo dan Rosé akhirnya bersatu dalam satu momen yang terasa seperti pertemuan semula di malam paling berprestij dunia fesyen.
Ini menjadi detik bersejarah, apabila buat pertama kalinya semua anggota kumpulan gadis Korea Selatan itu hadir serentak di acara tersebut. Bagi Jisoo pula, malam itu lebih bermakna kerana menjadi kemunculan sulungnya di Met Gala.
Di bawah tema “Costume Art”, setiap seorang daripada mereka tampil bak karya seni yang hidup, berkilau, berani, dan penuh karakter, menghidupkan karpet merah dengan keanggunan yang sukar dilupakan.
LISA
Lisa melangkah anggun dalam gaun putih sheer yang mengalir indah rekaan Robert Wun, lengkap dengan bodi berlengan panjang dan skirt potongan duyung yang dramatik. Busana itu berkilauan lembut dengan taburan kristal putih dan perak, memantulkan cahaya seperti bintang yang jatuh ke bumi.
Namun, keindahannya tidak terhenti di situ. Elemen paling mencuri perhatian ialah arca berbentuk lengan berwarna putih yang seolah-olah “hidup”, dihiasi gelang berlian yang berkilau, seakan-akan memeluk rekaan tersebut. Arca itu turut menyokong veil sepadan yang melayang di atas Lisa.
Jennie
Jennie memilih sentuhan “heavy metals” dalam gaun Chanel yang berkilau, tampil bak patung hidup yang diukir daripada cahaya. Siluet kolumnya yang sleek, dengan bodis bustier berstruktur kemas, diselaputi helaian sequin berbentuk daun yang berkilauan dalam pelbagai tona biru seperti riak laut yang membeku dalam cahaya malam.
Busana rumit itu mengambil masa 540 jam untuk disiapkan, hasil ketelitian tinggi yang selari dengan kecintaan pengarah kreatif Matthieu Blazy terhadap seni pertukangan tangan yang halus dan penuh dedikasi.
Penampilannya kemudian disempurnakan dengan anting-anting Chanel High Jewelry bertatah berlian yang berayun lembut, cincin berlian yang memancar cahaya, serta clutch berhiaskan kristal—setiap elemen menambah ledakan kilauan yang menjadikan Jennie benar-benar bersinar di bawah sorotan malam itu.
Jisoo
Jisoo melengkapkan kehadiran kumpulan itu dengan gaun Dior yang seolah-olah mekar di atas dirinya sendiri, sebuah karya berpayet dalam palet merah jambu, ungu, hitam dan putih yang lembut namun penuh karakter. Gaun tanpa tali itu diperkemaskan dengan struktur pinggang berlapis yang sculptural, memberi siluet yang anggun dan terarah.
Bahagian atasnya dihiasi bunga sutera yang jatuh mengalir, seakan-akan tumbuh dan mekar bersama rekaan itu sendiri dalam harmoni warna yang sama. Dari kejauhan, keseluruhan busana ini mencipta ilusi dahan bunga yang sedang berkembang, dengan kelopak-kelopak yang gugur perlahan.
Sentuhan akhir hadir melalui choker nipis berhiaskan kristal, serta cincin dan anting-anting berlian yang halus, memberikan kilauan lembut yang melengkapkan salah satu interpretasi floral paling elegan di karpet merah malam itu.
Rosé
Rosé tampil anggun dalam gaun hitam tanpa tali rekaan Anthony Vaccarello untuk Saint Laurent, dengan belahan peha tinggi yang memberi sentuhan berani namun tetap elegan. Siluetnya yang minimalis menjadikan setiap perincian kecil lebih menyerlah, seolah-olah mengekalkan keseimbangan antara kekuatan dan kelembutan.
Pernyataan paling menonjol pada busana itu datang daripada brooch abstrak bersaiz besar berbentuk burung enggang Senfo, dihiasi kristal gelap yang menambah aura mewah dan misteri. Burung tersebut pernah menjadi inspirasi kepada Yves Saint Laurent, malah muncul sebagai motif dalam koleksi musim bunga 1988, menjadikan pilihan ini sarat dengan makna sejarah fesyen.
Seiring dengan tema karpet merah yang berinspirasikan burung dan bulu, aksesori itu terasa selari namun tetap kekal minimalis dalam pendekatannya. Melengkapkan penampilannya, Rosé mengenakan rantai leher berlian Tiffany & Co. yang berkilau, berlapis indah seperti sayap yang sedang mengembang, menambah sentuhan glamor yang halus tetapi memikat.








