The Exchange TRX mula dibuka pada penghujung November lalu, dan sampai ke saat ini berpusu-pusu orang datang berkunjung, lebih-lebih lagi hujung minggu. Bagi yang belum sempat ke sini, EH! bariskan lima butik mewah yang berdekorasi unik dan menarik untuk santapan mata anda.
BALENCIAGA
Butik Balenciaga antara yang menjadi perhatian sementelah dua fasadnya berhadapan dengan jalan pintu utama memasuki The Exchange TRX. Fasad putih dengan label BALENCIAGA saiz major membuatkan butik ini cukup menonjol. Berkeluasan 286 meter persegi, butik ini menampilkan konsep seni bina yang ‘raw’ dan berunsur industrial.
BURBERRY
Dari jauh lagi butik jenama dari Britain ini seakan sudah memanggil-manggil. Cahaya terangnya membangkitkan arca yang teguh menghiasi ruang hadapan butik ilham artis terkenal, Casey McCafferty. Permaidani hasil rekaan pereka tekstil British, Tom Atton Moore terhampar mewah. Sebagai pembuka, koleksi musim luruh/dingin 2023 ilham Daniel Lee melatari tiap ruang butik.
CHRISTIAN LOUBOUTIN
Merah membara, dari jauh sudah cukup menyerlah. Butik label kasut mewah ini berkeluasan 240 meter persegi dijelmakan dengan gaya interior mirip rumah percutian Louboutin sendiri yang terletak di Portugal. Menempatkan pelbagai himpunan kasut, beg dan aksesori lain buat lelaki dan perempuan, Christian Louboutin mahu sesiapa yang masuk ke ruang butiknya terasa bagaikan bersantai bersama teman di salon.
GIORGIO ARMANI
Konsep butik ini direka khas oleh Giorgio Armani sendiri bersama pasukan arkiteknya. Gaya interiornya memang mencerminkan identiti elegan rumah fesyen Itali ini. Berkeluasan 366 meter persegi, butik ini dipisahkan kepada lima bahagian. Selain bahagian himpunan lelaki dan perempuan, yang menariknya butik ini turut menawarkan khidmat ‘made-to-measure’. Semua perabot yang menghiasi tiap ruang semestinya dari Armani Casa sendiri.
RIMOWA
Jenama bagasi mewah tersohor dunia ini menambah lagi satu stornya, dengan keluasan 100 meter, stor ini tersergam gah dengan binaan batu terazo kelabu di pintu masuk. Stor jenama mewah Jerman ini menawarkan variasi bagasi dan semestinya sempurna dengan bagasi ikoniknya seperti aluminium klasik dan asli. Rimowa mula diasaskan pada 1898 dan pada 1937 mereka mula memperkenalkan bagasi aluminium yang diinspirasikan dari gaya aviation.
BACA: ALO, Label Activewear Pilihan Bella Hadid dan Kylie Jenner Kini Di Malaysia