“Persahabatan adalah satu hal yang sukar untuk dijelaskan. Ia bukan sesuatu yang kita belajar di sekolah. Tapi jika kamu tidak mengerti apa itu persahabatan, kamu tidak belajar apa-apa,”- Muhammad Ali, legenda tinju dunia.
Seisi studio gamat apabila aktres Puteri Aishah dan pengacara dan usahawan Shalma Ainaa dan Yaya Zahir bertemu dalam satu penggambaran istimewa bersama EH! dan jenama fesyen terkenal, Tommy Hilfiger. Masakan tidak kerana mereka bertiga sangat akrab, dan memang sengaja kami himpunkan mereka untuk penggambaran istimewa ini.
Jika anda pengikut Instagram mereka, pasti sudah terbiasa melihat perkongsian mereka di ‘feed’ mahupun IG story, adakalanya mereka keluar makan bersama, ada masa rakaman foto-foto di pelbagai acara. Menurut Shalma, mereka bertiga menjadi rapat apabila ditemukan dalam satu trip ke Istanbul. Sejak itu hubungan mereka semakin akrab sehingga ke hari ini.
Energi yang Puteri, Shalma dan Yaya sepanjang penggambaran bersama kami memang seiring dengan vibes yang Tommy Hilfiger tonjolkan menerusi kempen global terbaru mereka. Label fesyen Amerika ini mahu kembali ke akar mereka yang memang gemar menonjolkan keakraban menerusi kempen-kempen fesyen mereka.
“Kempen ini adalah satu keraian bagi nilai jenama kami yang memberi fokus pada keakraban dan kekeluargaan. Kami satukan keunikan dan keakraban antara teman dan keluarga sekaligus mengingatkan saya kepada perhubungan yang saya miliki dengan orang yang saya sayang,”- Tommy Hilfiger.
Kata Shalma dia mendefinisikan persahabatan sebagai satu hubungan susah senang bersama. “Kawan yang akrab adalah yang akan selalu ada untuk satu sama lain. Memang akan sampai masa bila kita semakin meningkat usia kita tak selalu berjumpa disebabkan komitmen dan mungkin juga kerana jarak, namun itu tidak akan mencipta jurang. Ikatan itu tetap utuh biarpun kita jauh mahupun dekat,” kongsinya.
KOMUNIKASI KUNCI UTAMA
“Persahabatan yang baik itu ialah bila kita terima lebih dan kurang kawan kita. Dan paling penting kita mestilah mahukan yang terbaik untuk mereka, dan mereka pun nak yang terbaik untuk kita. Saya appreciate pada orang yang ikhlas dengan saya,” kongsi Shalma.
Bila ditanya bagaimana dia menjaga perhubungan dengan kawan-kawan, balas Shalma komunikasi adalah kuncinya. “Jika tak berjumpa sekalipun, perlu ada constant communication. Jika ada masalah, kongsi. Kawan bukan untuk cerita yang seronok-seronok sahaja.”
“Lagi satu, bagi saya percutian bersama adalah ruang terbaik untuk menguatkan hubungan kita dengan teman-teman.”- Shalma Ainaa.
KEMBARA BERSAMA
Sama seperti Shalma, Yaya Zahir juga berpendapat percutian atau kembara bersama adalah ruang paling tepat untuk merapatkan hubungan. “Seperti orang kata, kita hanya betul-betul kenal seseorang bila kita bercuti bersama. Dan dari pengalaman saya, percutian dengan kawan-kawan selama ini sangat menyeronokan dan kami saling membantu,” kongsinya.
Kata Yaya lagi, bertuah baginya kerana bukan sahaja hubungannya dengan teman-teman rapatnya berlangsung baik, malah suami teman-temannya juga sudah jadi sahabat rapat.
“Bagi saya ada tiga hal yang penting dalam persahabatan; care, fun and support.”- Yaya Zahir.
LISTEN AND SUPPORT
Bagi Puteri Aishah perlu untuk dia sebagai seorang kawan memberitahu betapa gembira dan bersyukurnya memiliki teman-teman yang baik. “Saya mahu kawan-kawan tahu yang saya memang hargai mereka sebagai kawan. Ini adalah salah satu cara untuk saya mengeratkan hubungan sesama kami.
“Dan jika orang tanya bagaimana saya menilai persahabatan saya, mudah, saya akan luangkan masa untuk mendengar cerita mereka dan memberi sokongan bila-bila mereka perlukan. Presence juga penting.”
“Sebagai kawan juga kita mesti tahu menjaga rahsia. Jadi kawan yang boleh dipercayai dan setia.”- Puteri Aishah
Menyemarakan vibes himpunan ini stail signifikan dan klasik Tommy Hilfiger sendiri seperti Tommy Tartan, permainan warna merah, putih dan biru, jalur dan juga TH Monogram dihidupkan. Koleksi yang digayakan oleh Shalma Ainaa, Puteri Aishah dan Yaya Zahir di halaman ini sudah pun berada di butik Tommy Hilfiger.
BACA: Bertemu Tommy Hilfiger Di New York Fashion Week 2019, Neelofa Zahir Rasa Teruja