EH! menghimpun tiga figura segar dalam satu rakaman stail eksklusif meraikan Ramadan dan Syawal bersama Louis Vuitton.
Ketibaan Ramadan dan Syawal lewat kebelakangan ini bukan sahaja mendapat perhatian label gaya hidup, malah rumah fesyen antarabangsa juga mahu merancakan sambutan dengan himpunan eksklusif.
Louis Vuitton salah satu jenama fesyen mewah yang tidak mahu ketinggalan meraikan ketibaan detik yang diraikan seluruh umat Islam di dunia. Ramadan dan Syawal adalah dua bulan yang sangat dinanti. Koleksi kapsul Ramadan Louis Vuitton diteruskan tahun ini dan himpunan helaian dan aksesorinya juga makin bercambah. Koleksi ini lazimnya terhad bukan sahaja pada musim jualan malah juga ‘destinasinya’.
Kami di EH! juga mahu merayakan himpunan ini dengan melangsungkan penggambaran istimewa bersama tiga gadis jelita Sharifah Rose, Sofea dan Shasha Abedul di The Chow Kit – An Ormond Hotel. Tiap satunya menggayakan himpunan kapsul Ramadan dan dipersembahkan dari sudut yang berbeza-beza.
Jika anda pengikut setia Sofea di laman media sosialnya, Get Ready With Me atau GRWM bukanlah satu video yang asing. Saban bulan dia berkongsi detik-detik persiapannya sebelum ke mana-mana acara. GRWM kali ini pastinya lebih istimewa bila Sofea menyuntik elemen mewah Louis Vuitton pada penampilannya. Tas tangan Petite Malle yang tampil dengan perincian berkilau menjadi penyempurna gayanya.
Sharifah Rose yang semakin mengharum namanya di gelanggang seni pula kami rakamkan dalam suasana santai, bersoal jawab tentang gaya dan raya. Dapat ditebak dari jawapan-jawapan yang diberikan, Rose seorang yang ringkas, senang dengan klasik dan malar segar. Pelengkap gayanya untuk penggambaran ini Rose memilih tas tangan Capucines Mini dalam rona keemasan. Warna ini dilihat timeless dan mudah disuai pada mana-mana helaian. Satu pelaburan gaya jangka masa panjang.
Shasha Abedul orangnya genit, tidak banyak bicara dan ini sebenarnya kali kedua EH! merakam wajahnya. Shasha kami gayakannya dengan helaian ringkas, berbaju putih dan berskirt labuh. Bahunya setia menyandang Dauphine MM dari himpunan kapsul yang sama. Kata Shasha, biar definisi Hari Raya berbeza-beza, baginya yang paling utama adalah meraikan kedatangannya dengan penuh kesyukuran.
Koleksi kapsul Ramadan Louis Vuitton sudah pun berada di butik Louis Vuitton dan untuk melihat himpunan penuh boleh klik pautan INI!
BACA: Louis Vuitton x Yayoi Kusama Menyusul Dengan Item & Kempen Baharu