Stray Kids terus meniti populariti di pentas global, bukan hanya muzik malah juga menerusi kolaborasi dengan jenama fesyen ternama. Terkini, mereka menjadi bintang global Tommy Hilfiger.
Saya ada satu kisah yang saya kongsikan tentang kempen Tommy Hilfiger. Sewaktu remaja (penghujung era 90-an) saya suka memotong keratan gambar kempen-kempen fesyen dan saya jadikannya sebagai pembalut buku mahupun fail. Dan kempen Tommy Hilfiger antara yang jadi kesukaan saya kerana ia nampak fresh, modelnya ramai dan kelihatan sangat autentik.
Dan bila Tommy Hilfiger melancarkan DNA dan elemen kempen yang serupa menerusi kempen terbaru musim luruh 2023, kenangan itu terus segar bugar di ingatan. Melihatkan kumpulan pop Korea Selatan, Stray Kids bergelak tawa dalam balutan helaian terbaru label fesyen Amerika ini sangat menggamit memori.
Menurut Tommy Hilfiger mereka memang mahu menghidupkan elemen itu kembali kerana itulah asalnya idea dan mesej yang mahu disampaikan oleh Tommy Hilfiger, yakni kemesraan dan keakraban.
“Kempen ini merupakan satu keraian bagi nilai jenama kami yang memberi fokus pada keakraban dan kekeluargaan. Kami satukan keunikan dan keakraban antara teman dan keluarga sekaligus mengingatkan saya kepada perhubungan yang saya miliki dengan orang yang saya sayang,”- Tommy Hilfiger.
KOLEKSI MUSIM LURUH TOMMY HILFIGER
Meraikan kehadiran musim luruh tahun ini, Tommy Hilfiger mengadun idea stail moden dan gaya klasik Amerika yang memberi perhatian khusus pada gaya outdoor. Menjadi highlight tentunya helaian luar (outerwear) dengan gaya puffer yang sangat sinonim dengan imej muda-mudi kota New York.
Menyemarakan vibes himpunan ini stail signifikan dan klasik Tommy Hilfiger sendiri seperti Tommy Tartan, permainan warna merah, putih dan biru, jalur dan juga TH Monogram.
Sedikit info tentang Stray Kids bagi yang masih kabur tentang kumpulan ini, mereka dianggotai oleh lapan ahli yakni Bang Chan, Lee Know, Changbin, Hyunjin, HAN, Felix, Seungmin, and I.N. Stray Kids ditemukan pada tahun 2017 menerusi sebuah program realiti yang juga judulnya Stray Kids. Di MTV Video Awards tahun ini mereka meraih kemenangan bagi kategori ‘Best K-Pop’ menerusi video muzik S-Class.
BACA: Shalma Ainaa, Puteri Aishah & Yaya Zahir Mendefinisi Persahabatan