Kami menghubungi hijab stylist popular, Yaya Ibrahem, mendapatkan tip dan panduan penggayaan hijab menjelang Lebaran tidak lama lagi.
Yaya Ibrahem bukanlah nama asing dalam dunia penggayaan hijab. Dia antara hijab stylist pilihan ramai artis popular termasuklah Neelofa, Aina Abdul, Ernie Zakri dan Yuna. Malah, kami di EH! Memang kerap menggunakan khidmatnya bila-bila kami ada penggambaran editorial. Dia seorang yang terbuka mencuba gaya baru, bereksperimen dengan gaya dan material. Namun bagi Yaya, bila bercakap tentang stail tudung di Hari Raya, gaya yang kemas dan longgar adalah yang paling bersesuaian.
Apakah trend hijab yang dijangka popular untuk raya 2026?
Tudung menggunakan fabrik renda (lace).
Tudung lace nampaknya antara yang popular., ada sebarang tip untuk stail ini? Dan apakah tip memilih material renda yang sesuai?
Pertama sekali pastikan anak tudung (inner) yang dipakai warnanya sama denganw arna renda yang ingin anda padankan. Ada banyak stail dan gaya untuk tudung renda tapi stail yang saya sarankan ialah yang longgar dan kemas. Tidak perlu gunakan pin yang banyak. Untuk pilihan lace pula saya cadangkan cari yang lembut.
Untuk baju bercorak, apakah tip paling mudah untuk memilih warna hijab?
Pilih warna hijab daripada warna paling lembut atau paling sedikit dalam corak baju, ini salah satu cara supaya penampilan anda tidak nampak terlalu sarat.
Bagi baju yang sarat pada perinciannya (heavy detailing), apakah tudung yang paling sesuai?
Clean hijab look. Usah terlalu banyak drapping dan pemilihan material juga amat penting. Seeloknya pilih yang plain, polos dan tidak banyak tekstur.
Apakah material terbaik untuk dijadikan hijab dan sesuai dengan cuaca negara kita?
Sutera sifon dan juga cotton lycra.
Apakah tip untuk ikatan hijab kekal dari pagi hingga ke petang?
Pastikan ikatan hijab tidak terlalu longgar dan kemaskan dengan penggunaan safety pin. Kurangkan penggunaan jarum peniti.
Dalam pengalaman anda, apa beza styling untuk penggambaran Raya vs real-life open house?
Untuk penggambaran mungkin stail yang ditata gayakan agak rumit untuk digayakan sendiri di pagi raya. Cara untuk secure’ hijab juga mungkin berbeza. In real life, pemilihan material dan gaya adalah yang minimal dan paling penting adalah keselesaan. Pilih yang ringkas supaya anda boleh gayakannya sendiri dan paling penting selesa digayakan sepanjang hari.
Apakah stail yang akan anda sendiri gayakan untuk raya tahun ini?
Sejak dulu lagi saya setia dengan gaya turban. Mungkin untuk tahun saya akan tukar materialnya kepada kain renda.






