Jika anda rasakan sebahagian rekaan aksesori terlalu glamor untuk gaya harian, usah risau Swarovski kini hadir dengan ilham yang lebih sepadan dengan gaya harian. Lebih santai namun tetap menarik.
Swarovski membawakan Swarovski Classica, sebuah koleksi barang kemas moden yang dicipta untuk menyerlahkan keanggunan padanan harian yang bersahaja namun ada tarikannya.
Direka sendiri oleh pengarah kreatif global Swarovski, Giovanna Engelbert, koleksi lengkap dengan 29 rekaan yang eksklusif. Dibarisi dengan pilihan loket, gelang, cincin, dan anting-anting yang tiap satunya direka dengan penuh tekun. Setiap rekaan tampil dengan ilham bersahaja, dan amat serasi dijadikan perhiasan diri harian tanpa menerbit rasa melebih-lebih. Terasa begitu semula jadi pada tubuh, sesuai digayakan sebagai ‘second skin’ yang mengalir anggun dari siang membawa ke malam.
“Untuk Swarovski Classica, saya terinspirasi oleh keanggunan semula jadi bunga calla lily. Ada sesuatu yang sangat puitis apabila menterjemahkan siluet flowy bunga tersebut ke dalam bentuk kontur lembut yang menjadi identiti koleksi ini.”- Giovanna Engelbert, Pengarah Kreatif Global Swarovski
Himpunan ini menampilkan siluet yang mengalir dan geometri seimbang melalui bentuk kontur yang lembut. Menggunakan perak tulen (sterling silver) daripada sumber kitar semula dengan sentuhan kemasan emas 18k, setiap rekaan disuntik dengan kilauan Swarovski Zirconia yang memberikan impak pencahayaan memukau namun tetap terasa ringan.
Swarovski Classica menandakan kehadiran estetika yang lebih segar dalam portfolio Swarovski. Ia berani bereksperimen dengan material, potongan, dan susunan batu permata tanpa mengetepikan cita rasa kontemporari yang sofistikated.
Membawa semangat minimalis, timeless, dan keyakinan yang bersahaja, koleksi ini memperkenalkan satu lagi dimensi dalam semesta Swarovski—sebuah keanggunan yang tidak perlu ‘menjerit’ untuk mencuri perhatian. Ia menyerlahkan nuansa baharu dalam bahasa rekaan Swarovski, sekali gus mencerminkan kreativiti tanpa batas serta kepakaran savoir-faire mereka.







