Swarovski meraikan bahang kehangatan musim panas dengan pelancaran koleksi perhiasan diri terbaharu yang penuh warna, ilham bentuk yang comel-comel. Bagi kami koleksi memang cukup menyerlahkan identiti wajah globalnya, Ariana Grande.
Diilhamkan oleh Pengarah Kreatif Global, Giovanna Engelbert, himpunan ini diinspirasikan daripada rasa gembira dan keterujaan seperti menikmati manisan kegemaran – penuh warna, ceria dan menyerlahkan personaliti.
Dinamakan sebagai Swarovski Summertime, koleksi ini membawa sentuhan mewah yang ekspresif dan penuh energi, lantas menjadikannya antara koleksi paling menyerlah musim ini.
Duta globalnya, Ariana Grande, turut mencuri perhatian dalam kempen musim panas Swarovski dengan menggayakan pelbagai aksesori berwarna-warni dan kombinasi rona yang segar. Gayanya yang berani dan ceria benar-benar mencerminkan semangat “lebih banyak, lebih menyerlah” yang menjadi tema utama musim ini.
Daripada barang kemas berinspirasikan warna gula-gula, rekaan comel bertemakan strawberi hinggalah kepada charms buah-buahan yang cukup ceria, Swarovski Summertime menawarkan gaya baharu untuk mereka yang ingin mengekspresikan diri tanpa batasan.
Warna-warna ‘manis’ yang diinspirasikan daripada pencuci mulut turut menghiasi koleksi jam tangan Swarovski yang ikonik, berasaskan rekaan Millenia. Kristal berbentuk oktagon yang menjadi signatur koleksi ini sesuai digayakan secara berlapis untuk penampilan maksimalis, atau dipakai satu sahaja bagi memberikan sentuhan warna yang menyerlah.
KOLEKSI CHARMS SWAROVSKI SUMMERTIME
Bagi anda yang menggemari aksesori peribadi, koleksi Swarovski Charms menampilkan pelbagai rekaan menarik seperti buah-buahan ranum, lebah comel dan simbol tuah yang menggambarkan kegembiraan musim panas dalam bentuk mini. Setiap charm direka untuk menambah kilauan pada aksesori pilihan atau dijadikan hadiah istimewa yang penuh makna.
Antara rekaan paling mencuri perhatian ialah motif strawberi yang menjadi ikon utama koleksi musim ini. Menggunakan teknik baharu yang diperkenalkan oleh Swarovski, kristal merah yang dipotong dengan ketepatan tinggi dalam lima tona berbeza digabungkan dalam resin lut sinar bagi menghasilkan efek buah yang tampak segar dan memukau. Loket, cincin dan charm dalam rekaan ini merupakan padanan sempurna untuk aktiviti berkelah, parti taman atau malam musim panas yang penuh cahaya.
Kempen Swarovski Summertime yang menampilkan Ariana Grande mengajak semua untuk terus bersinar sepanjang musim yang cerah ini. Koleksi tersebut kini boleh didapati di butik Swarovski dan juga secara dalam talian.




