Jika ditanyakan apakah salah satu keraian penting dalam dunia fesyen sepanjang tahun ini, tak lain tak bukan adalah meraikan corak Monogram ikonik Louis Vuitton yang sudah masuk ke usia 130 tahun.
Dicipta pada tahun 1896 oleh Georges Vuitton sebagai penghormatan kepada bapanya, Louis Vuitton yang juga pengasas visionari jenama ini, kanvas Monogram kini menjadi salah satu simbol paling ikonik dan dihormati di dunia fesyen. Lebih daripada sekadar corak, Monogram adalah lambang sejagat yang mewakili keunikan, warisan, budaya dan inovasi.
Hari ini, Louis Vuitton boleh mendabik dada apabila corak ini meraikan ulang tahun ke-130 Monogram menerusi bermacam koleksi khas dan paparan tingkap butik eksklusif. Sambutan ini bermula Januari 2026 dengan penghargaan terhadap beg-beg Monogram ikonik sebagai karya warisan sebenar rumah fesyen ini, di samping pelancaran koleksi beg Monogram edisi istimewa yang baharu.
MONOGRAM, PERTEMUAN SENI DAN IDENTITI LOUIS VUITTON
Sejak awal penciptaannya, Monogram direka sebagai idea yang mendahului zaman. Ia adalah cermina kepada satu gabungan seni dan identiti. Georges Vuitton sendiri mereka corak ini dan mendaftarkan paten bagi komposisi rumit yang menggabungkan singkatan LV dengan inspirasi sentuhan motif bunga.
Diinspirasikan oleh hiasan Neo-Gothic serta pengaruh Japonisme, Monogram dicipta untuk melindungi keaslian rekaan jenama ini sendiri, bersama-sama kanvas berjalur pada 1872 dan Damier pada 1888. Namun, reka bentuk ini berkembang menjadi satu impak yang besar dalam sejarah Louis Vuitton. Bagi Georges, Monogram bukan sekadar hiasan, tetapi lambang falsafah kecemerlangan, kemodenan dan legasi yang berterusan.
Sepanjang sejarahnya, Monogram telah menyatukan generasi pencipta, pengumpul dan ikon budaya. Ia menjadi inspirasi kepada tenaga mahir Louis Vuitton, membentuk visi pengarah kreatif seperti Marc Jacobs, Nicolas Ghesquière, Virgil Abloh dan Pharrell Williams. Monogram juga menjadi asas kolaborasi luar biasa bersama artis terkenal seperti Takashi Murakami, Yayoi Kusama dan Richard Prince.
KERAIAN MONOGRAM
Pada Januari 2026, Louis Vuitton membuka tirai tahun baru dengan mengumumkan sambutan ulang tahun Monogram dengan meraikan beg-beg Monogram paling ikonik seperti Speedy, Keepall, Noé, Alma dan Neverfull.
Louis Vuitton turut memperkenalkan Monogram Anniversary Collection yang baharu. Berinspirasikan kod savoir-faire trunk ikonik, tiga beg edisi khas mentafsir semula Monogram menerusi reka bentuk moden, material pelbagai serta gabungan teknik kraf tradisional dan inovatif.
Monogram Origine Collection menghidupkan kembali corak asal 1896 melalui kanvas Monogram baharu yang menggunakan teknik tenunan jacquard tradisional. Dihasilkan daripada campuran linen dan kapas, koleksi ini tampil dengan palet warna pastel lembut, diinspirasikan daripada kulit hadapan buku daftar pelanggan arkib House.
VVN Collection pula merupakan penghormatan kepada legasi barangan kulit Louis Vuitton. Diperbuat daripada kulit lembu semula jadi berkualiti tinggi, koleksi ini menekankan keaslian, ketulenan dan keindahan sentuhan kulit yang disiapkan secara tangan — setiap satu akan membentuk patina unik dari masa ke masa.
Time Trunk Collection menghubungkan masa lampau dan masa kini menerusi cetakan trompe-l’oeil yang lebih bold, menceduk tekstur dan perincian logam trunk bersejarah Louis Vuitton, menjadikan warisan sebagai ilusi seni yang moden.
Sempena keraian bersejarah ini, Louis Vuitton mengajak dunia untuk melihat semula Monogram bukan sekadar sebagai rekaan, tetapi sebagai legenda malah simbol stail yang merangkumi keanggunan dan keistimewaan sejagat, dengan legasi yang berterusan.














