Digital pet ikonik kembali mencuri perhatian menerusi kolaborasi eksklusif bersama UNIQLO yang menggabungkan kenangan 90-an dengan gaya moden LifeWear.
UNIQLO Malaysia mengajak peminat fesyen dan pencinta nostalgia untuk mengimbau semula memori indah era 90-an dengan pelancaran koleksi UT khas sempena ulang tahun ke-30 Tamagotchi. Koleksi eksklusif ini menampilkan rekaan pixel art klasik yang diinspirasikan daripada permainan digital ikonik tersebut.
Dilancarkan oleh Bandai pada tahun 1996, Tamagotchi pernah menjadi fenomena global, daripada pelajar sekolah hingga dewasa yang setia menjaga haiwan peliharaan digital mereka. Kini, ikon budaya pop itu dihidupkan semula menerusi koleksi UT yang menampilkan rekaan grafik retro, diinspirasikan daripada shell Tamagotchi generasi pertama serta paparan antaramuka permainan klasik.
Koleksi ini menampilkan karakter kegemaran ramai seperti Mametchi, Mimitchi, Kuchipatchi, Ginjirotchi dan Pochitchi, dipersembahkan dalam gaya ceria dan playful. Lebih menarik, beberapa helaian dilengkapi butiran sulaman serta cetakan belakang yang meraikan kitaran hidup Tamagotchi, daripada telur sehinggalah menjadi karakter ikonik yang kita kenali.
Bukan sekadar pakaian, pengalaman Tamagotchi turut diterjemahkan ke alam digital moden. Sempena pelancaran koleksi ini, UNIQLO memperkenalkan mini-game interaktif “Tamago Catch” yang boleh dimainkan di laman web rasmi mereka. Dalam permainan ini, Mametchi yang mengenakan UT akan muncul daripada peranti Tamagotchi untuk mengutip makanan dan item yang jatuh, satu sentuhan comel yang pasti mencetuskan nostalgia.
Koleksi UNIQLO UT x Tamagotchi akan dilancarkan pada 22 Disember 2025, menampilkan empat rekaan eksklusif T-shirt berharga RM59.90 serta satu mainan UT Original Tamagotchi berharga RM99.90, dan boleh didapati di semua stor UNIQLO serta secara atas talian di uniqlo.com.
Baca: BABYMONSTER x UNIQLO UT, Kolaborasi Pertama Yang Bakal Jadi Fenomena!









