Tahun ini pereka fesyen popular tanah air, Hatta Dolmat tampilkan koleksi lebaran Em'bloom Raya Luxe bertemakan taman Inggeris.
Koleksi raya yang eksklusif ini berinspirasikan taman Inggeris vintaj. Yang buatkan ia lebih istimewa adalah kerana rekaan corak pada fabriknya yang dihasilkan sendiri oleh pereka ini.
Rekaan corak taman inggeris itu diilustrasikan dengan lukisan tangan yang menggambarkan taman yang dipenuhi flora dan fauna seperti kumbang, rama-rama, burung, bunga-bungaan, paku-pakis dan banyak lagi.
Ini juga seakan satu kesinambungan dari koleksi Hatta sebelum ini yang membawakan unsur kumbang pada coraknya. Pilihan warna yang dimainkan dalam koleksi ini juga menyerlahkan konsep vintaj itu sendiri. Antaranya termasuklah blush, merah, fuschia, biru gelap dan hijau emerald.
Pilihan material fabrik pula Hatta menggunakan jenis creepe dan organdi sebagai pilihan utama. Manakala dari segi tekstur dan perhiasan pula sangat minimal kerana mahu rekaan corak fabrik lebih menyerlah.
Koleksi Em'bloom Hatta Dolmat ini mempunyai potongan tradisional melayu untuk kebaya pendek, kurung moden, baju Pahang dan Abaya. Mungkin boleh jadi pilihan untuk baju raya tahun ini.