Ahad lalu berlangsung acara pernikahan of the year, yang menyaksikan penyatuan Fattah Amin dan suri hatinya Amira Othman. Amira tampil anggun dalam persalinan kebaya moden dalam ton putih rekaan Teh Firdaus, sederhana namun cukup menyerlah. EH! sempat menghubungi pereka yang kini menjadi antara pereka pilihan ramai untuk acara bersejarah.
Bila Amira mula menghubungi Firdaus?
Amira mula menghubungi saya beberapa bulan lalu, sebaik sahaja tarikh pernikahan mereka dimuktamadkan. Dari awal lagi, beliau sangat jelas dengan apa yang dia mahukan, dia ingin tampil sederhana namun masih kelihatan anggun di hari istimewanya.
Apa permintaan Amira untuk rekaan busana pernikahannya?
Amira mahukan sesuatu yang benar-benar mencerminkan dirinya; sopan, lembut, dan penuh kelembutan seorang pengantin, tetapi masih mempunyai elemen moden. Dia mahukan sesuatu yang ringkas dan elegan. Permintaan utamanya ialah kebaya yang menutup aurat, dengan siluet yang flowy dan romantik.
Apakah idea dan inspirasi untuk rekaan ini?
Inspirasi datang daripada keindahan kebaya klasik, digabungkan dengan sentuhan moden minimalis ala Teh Firdaus. Saya mahu busana ini bukan sahaja meraikan tradisi Melayu, tetapi juga menggambarkan keperibadian Amira yang demure, tenang, dan elegan.
Apakah material yang digunakan?
Saya memilih sutera sifon sebagai fabrik utama kerana teksturnya yang ringan dan jatuh cantik, sesuai dengan pergerakan anggun pengantin. Ia memberikan rasa romantis tanpa kelihatan terlalu berat.
Bagaimana dengan perincian untuk busana ini?
Busana ini dilengkapi dengan detil manik halus jahitan tangan serta perincian yang sangat intricate pada bahagian leher dan lengan. Segala perincian dibuat dengan penuh ketelitian, cukup untuk menaikkan seri tanpa mengganggu kesederhanaan rekaan.
Berapa lama masa diambil untuk busana ini disiapkan?
Proses menyiapkan busana ini mengambil masa kira-kira enam minggu, bermula daripada sesi perbincangan awal, lakaran, pemilihan fabrik, sehingga ke peringkat terakhir fitting.
Biasanya apa perasaan bila Teh Firdaus diberi tanggungjawab untuk mereka busana perkahwinan selebriti?
Setiap kali diberi amanah sebegini, saya merasa sangat bersyukur dan dalam masa yang sama penuh tanggungjawab. Ia bukan sekadar menghasilkan persalinan, tetapi mencipta memori abadi dalam hidup seseorang. Untuk selebriti pula, tekanan itu lebih besar kerana mata masyarakat akan tertumpu, namun itulah cabaran yang menguatkan semangat saya sebagai pereka.
BACA: #EHklusif: 8 Soalan Bersama Alia Bastamam, Pereka Gaun Kahwin Neelofa