Bersempena dengan New York Fashion Week 2020, saya berkesempatan menemu bual sendiri Pengarah Kreatif Kate Spade New York iaitu Nicola Glass di kota New York. Temubual eksklusif ini dijalankan sambil saya melihat previu himpunan ready-to-wear juga aksesori untuk musim luruh/sejuk 2020 yang terbaharu. Kali ini Kate Spade New York tidak mengadakan pertunjukan fesyen seperti musim-msuim sebelum ini, sebaliknya persembahan koleksi yang lebih intimate.
Temubual ini dijadualkan pada jam 12 tengahari di Kate Spade New York Headquarters yang terletak di 2 Park Avenue, Manhattan. Saya tiba 15 minit sebelum dan bertemu dengan wakil mereka dari Amerika Syarikat juga wakil Tapestry Asia Tenggara. Dan lima minit sebelum jam 12, Nicola Glass muncul di ruang persembahan koleksi dan sesi temubual ini dimulakan. Berikut adalah bicara saya bersama Nicola Glass yang berjalan selama 15 minit.
Apakah inspirasi disebalik koleksi musim luruh/sejuk 2020 Kate Spade New York?
Idea ini bermula dengan ‘enchanted forest’ dan perjalanan yang penuh magis dalam mengharunginya. Bila anda melihat koleksi ini, anda dapat melihat perincian atau sisi floral, cetak dan cendawan seperti cincin koktel bentuk cendawan dan penggunaan floral pada bahagian dalam kot trench baharu. Saya juga melihat kembali rekaan forever favourites peminat setia Kate Spade New York dalam menghasilkan kesegaran dan pembaharuan untuk koleksi kali ini.
Mengapa Kate Spade New York tidak mengadakan pertunjukan fesyen musim ini?
Musim ini, kami telah membuat keputusan untuk tidak melangsungkan pertunjukan fesyen. Sebaliknya, Kate Spade New York mengadakan persembahan koleksi musim luruh/sejuk 2020 yang lebih intimate. Kami turut membuat video dokumentari yang menunjukkan proses penggambaran look-book yang ditayangkan di sini. Ia meneruskan pertunjukan musim lalu yang menampilkan barisan wanita yang hadir dari pelbagai latar belakang seperti model, pelakon, kurator seni, ahli astrologi, penulis dan juga bintang media sosial.
Apakah tema utama untuk koleksi kali ini?
Floral menjadi tema utama, selain tweed, bintik polka dan genggang yang menggunakan teknik baharu, siluet baharu dan juga cara baharu. Musim ini juga menampilkan kombinasi yang memberikan dimensi baharu seperti cetak jalur bersama floral atau juga tweed bersama baldu. Anda boleh melihat skirt yang menampilkan juraian floral pada gaun sifon polos cukup berbeza.
Boleh anda ceritakan mengenai koleksi aksesori musim baharu ini?
Musim ini, Kate Spade New York menampilkan beg tangan kamera dalam multi saiz termasuklah saiz mikro. Beg tangan ini menggunakan logo spade dengan tali metal dan pilihan warna yang mencuri perhatian. Selain itu, kami turut menampilkan beg tangan satchel dalam siluet baharu yang menggunakan kepelbagaian material dan tekstur yang boleh digayakan sepanjang hari.
Apakah warna utama untuk koleksi musim luruh/sejuk 2020?
Kuning adalah pilihan warna pop utama untuk musim baharu ini. Anda boleh melihat variasi ton kuning yang digunakan seperti kuning marigold yang terang. Biru dan magenta juga banyak digunakan kali ini. Kami juga menggunakan cetak haiwan untuk koleksi kapsul yang akan mula berada di pasaran bermula Oktober nanti.
Bagaimana pula rekaan kasut musim ini?
Kali ini saya mahukan rekaan yang lebih mudah seperti ballet flat yang anda boleh terus sarung. Tampil dalam warna merah, hitam dan metalik. Ada juga kasut loafer yang menampilkan perincian reben atau kasut tumit baji yang dapat menambahkan dimensi ketinggian buat pemakai nanti.
Apakah rekaan kesukaan anda untuk koleksi kali ini?
Gaun yang saya gayakan hari ini adalah kesukaan saya. Saya sukakan penggunaan teknik crochet pada warna kuning yang statement. Beg tangan pula, saya sukakan rekaan satchel kerana ianya versatile untuk digayakan setiap hari. Dan sudah pasti beg tangan mikro yang cukup cool dengan kombinasi warna pop. Tidak dilupakan perhiasan kemas seperti kerongsang yang menggunakan campuran batu pada bentuk spade yang playful.