Sodiqin Shaz, satu nama yang kian menyerlah dalam dunia fesyen tanah air. Dikenali sebagai pereka yang berani mencabar norma, Sodiqin gemar bereksperimen dengan bentuk, struktur, dan bahan luar biasa seperti boraks dan simen menjadikan setiap rekaannya bukan sekadar pakaian, tetapi karya visual yang berani dan bermakna.
Sodiqin Shaz, satu nama yang mula mencuri perhatian dalam dunia fesyen tempatan. Kali pertama saya melihatnya ialah pada tahun 2022, ketika dia hadir sebagai tetamu di Kuala Lumpur Fashion Week. Hari ini, tiga tahun kemudian, dia berdiri di acara yang sama, bukan lagi sebagai penonton, tetapi sebagai pereka muda yang membuat penampilan sulungnya secara rasmi.
Berusia 27 tahun, Sodiqin dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pinang, sebelum melanjutkan pengajian dalam Diploma Perniagaan Antarabangsa di Politeknik Melaka. Meskipun latar akademiknya bukan dalam bidang fesyen, kecintaannya terhadap rekaan berkembang secara semula jadi, lahir daripada minat, keberanian bereksperimen, dan dorongan untuk mencipta sesuatu yang benar-benar berbeza.
ShazNash, jenama yang diasaskan bersama rakan kongsinya, Nash, bukan sekadar label fesyen, ia adalah ekspresi berani dan jujur dari dua individu yang percaya bahawa rekaan boleh menjadi bentuk komunikasi yang lebih mendalam.
Gaya reka bentuk Sodiqin menyerlah melalui siluet dramatik dan perincian yang unik, terutama elemen signature berbentuk hiasan titisan air (teardrops embellishment) yang mengalir indah di atas fabrik. Namun, apa yang benar-benar membezakan ShazNash ialah keberaniannya untuk bereksperimen, daripada penggunaan bahan-bahan luar jangka seperti boraks dan simen, ke pendekatan bentuk dan struktur yang lari sepenuhnya daripada kebiasaan rekaan konvensional.
Dan kini, menjelang debut rasmi di KLFW 2025, satu perkara pasti , ini bukan sekadar koleksi, ini adalah statement. Dan saya tidak sabar untuk melihat dunia melihatnya.
Bagaimana anda menggambarkan gaya reka bentuk signature anda?
Gaya peribadi saya sangat ringkas – T-shirt besar kosong dan seluar slack, atau blazer kosong dan slack. Warna biasanya dalam tona monokrom.
Gaya tandatangan jenama saya pula ialah korset yang direka secara berlebihan, dan rekaan titisan hujan saya. Saya suka bermain dengan pelbagai jenis korset untuk menjadikan sesuatu pakaian itu lebih menyeronokkan.
Apa yang anda rasa industri fesyen perlukan lebih sekarang?
Saya rasa saya bukan orang yang paling sesuai untuk bercakap tentang hal ini kerana saya masih baru dalam industri, tetapi bagi saya, kepercayaan terhadap generasi baru dan mempercayai produk yang mereka hasilkan adalah sangat penting.
Sebagai pereka bebas, apakah cabaran terbesar dalam membangunkan jenama anda?
Meyakinkan orang ramai bahawa anda boleh melakukannya. Saya rasa menembusi pasaran sangat sukar apabila anda masih baru dan bekerja secara bebas.
Apakah jenis muzik atau senarai lagu yang biasanya anda dengar semasa bekerja dengan rekaan anda?
Sebenarnya saya tidak mendengar muzik ketika mereka pakaian saya. Saya lebih suka menonton dokumentari tentang pembunuh bersiri atau rancangan Grey’s Anatomy. Tapi kalau nak cakap sekarang, saya sedang dengar lagu Charlie Jeer – “Her Eyes” dan “Nobody”. Ariana Grande pun banyak memberi semangat pada saya.
Apakah hobi atau aktiviti kegemaran anda?
Saya suka memelihara serangga dan amfibia. Saya sangat tertarik dengan kepelbagaian spesies serangga di dunia. Selain itu, saya mengisi masa dengan memasak dan menjadi tuan rumah makan tengah hari atau makan malam.
Siapakah yang paling anda ingin lihat memakai hasil rekaan anda?
Tempatan: Littlemisskhan, Scha Alyahya, Nadhir Nassar
Antarabangsa: Heart Evangelista, Alton Mason, Kendall Jenner, Afgan
Apakah nasihat anda kepada pereka muda yang bercita-cita tinggi?
Estetika pertama bukan penamat, anggap ia sebagai permulaan. Teruskan bereksperimen, cuba pelbagai gaya hingga temui yang paling serasi dengan diri. Jangan pernah membataskan diri pada fabrik semata, kerana fesyen adalah ruang tanpa sempadan. Kadangkala, hanya satu pertemuan cukup untuk mengubah seluruh keyakinan dan arah.
Pertama kali membuat penampilan sulung di KLFW tahun ini, apa yang boleh kami jangkakan dari anda?
Saya harap semua orang akan berseronok dan teruja untuk mencuba rekaan ini. Saya sangat seronok menghasilkan koleksi ini.
Apakah rancangan anda untuk masa hadapan?
Untuk terus bersemangat dalam mereka seperti kali pertama saya bermula. Untuk mempunyai ruang yang selesa untuk menghasilkan pakaian dan rekaan. Dan untuk memakaikan rekaan saya kepada semua orang yang saya impikan.
Baca: “Sentiasa Berani Untuk Bermimpi Walaupun Ia Tidak Masuk Akal” – Raja Irfan