EH! menyenaraikan beberapa ilham luar kotak Thierry Mugler yang menggegar persada fesyen dunia.
Dunia fesyen dikejutkan dengan pemergian pereka fesyen, Manfred Thierry Mugler yang meninggal pada usia 73 tahun. Namun sehingga artikel ini ditulis masih belum ada sebarang kenyataan rasmi tentang penyebab kematiannya. Berita kematian pereka prolifik itu diumumkan secara rasmi menerusi akauan instagram miliknya.
“We are devastated to announce the passing of Mr. Manfred Thierry Mugler on Sunday January 23rd 2022. May his soul Rest In Peace.” Kapsyen yang dimuat naik di akaun instagramnya.
Kami senaraikan beberapa ilham Thierry Mugler yang berjaya meledakkan kembali namanya di dunia fesyen juga hiburan era 2000-an. Penampilan selebriti tular juga menjadi salah satu faktor mengapa namanya kembali melonjak.
KIM KARDASHIAN
Mugler cukup dikenali dengan ilham flamboyant, playful dan sejak dari dulu lagi dia suka menyelitkan unsur futuristik dalam himpunannya. Dia juga sukakan sesuatu yang ilham luar biasa, mengajak orang yang melihat karyanya berfikir bagaimana karyanya dihasilkan. Mugler pernah berehat seketika dari dunia rekaan namun kerjayanya kembali rancak selepas dia mengilhamkan gaun lateks yang digayakan oleh Kim Kardashian ke MET Gala. Penampilan Kim waktu itu menjadi perbualan seluruh dunia.
Gaun lateks warna kulit ini khabarnya mengambil masa selama lapan bulan untuk disempurnakan. Malah Kim Kardashian sendiri terpaksa mencatu makanannya agar gaun yang dicipta mengikut bentuk badannya itu kekal muat di hari MET Gala berlangsung. Malah dalam satu video belakang tabir persiapan Kim, dia menunjukkan donut mini yang dimakannya demi memastikan bentuk badannya tidak ‘lari’.
Selepas kemunculannya dalam gaun sendat Mugler mencetus fenomena, beberapa kali juga Kim dilihat menyarung Mugler. Malah Kim sendiri meminta Mugler untuk mereka kostum Halloween pada tahun 2019. Dipanggil sebagai ‘Cowbot’, ilham gaya itu asalnya merujuk kepada rekaan Mugler pada tahun 1992 dan 1995.
CARDI B
Di malam anuegrah Grammy 2019, Cardi B muncul dalam tiga persalinan Mugler, dari karpet merah, ke persembahan juga saat dia mengambil trofi kemenangan. Khabarnya, sejak pembikinan video muzik ‘Money’ lagi, penata gayanya, Kollin Carter mahu memakaikan Cardi B dengan gaun vintaj Mugler, namun atas keterbatasan masa hajatnya tidak kesampaian. Namun, nasib menyebelahi apabila Mugler setuju untuk memakaikan Cardi B untuk Anugerah Grammy.
Carter terbang ke Paris dan ‘melawat’ arkib Mugler dan beberapa look dipilih dan diterbangkan ke Los Angeles. Dua minggu sebelum Grammy, sesi acu baju sudah dijalankan. Ada beberapa helaian terpaksa dibega dan ada juga dibuat baharu untuk disesuaikan dengan Cardi B, misalnya bodysuit warna kulit yang perlu disesuaikan dengan ton kulit Cardi B. Sarung tangan juga dibuat baharu kerana Cardi B biasanya berkuku panjang (sangat panjang).
BEYONCE KNOWLES
Beyonce di era ‘Sasha Fierce’ juga banyak menggayakan Mugler, dari video muzik sehinggalah ke konsert jelajah dunianya. Beyonce menyarung Mugler di dalam video muzik ‘Diva’ dan ‘Sweet Dreams’. Cyborg bodysuit yang disarung Beyonce di dalam video klip ‘Sweet Dreams’ sangat ikonik. Untuk konsert ‘I Am World Tour’, Mugler menyediakan 74 helai baju untuk digayakan Beyonce. Antara yang paling menyerlah tentunya baju ton emas yang menjadi pembuka konsert tersebut. Secara keseluruhannya, penampilan Beyonce untuk edisi ‘Sasha Fierce’ adalah mahu menonjolkannya sebagai seorang wirawati.